YAN -"Saya rasa seperti hilang punca apabila melihat bumbung rumah saya diterbangkan angin, barang-barang dalam rumah pula berselerak akibat angin puting beliung,".
Demikian kata mangsa kejadian angin puting beliung, Che Pura Said, 52, yang ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Chengal, hari ini.
Che Pura berkata, ketika kejadian dia bersama suami sedang berehat dibilik ruang depan.
"Kami dah nak tidur masa tu, tapi bunyi meletup sangat kuat menyebabkan kami berdua berlari keluar bilik.
"Terkejut kami apabila melihat keadaan rumah yang berselerak dengan barang," katanya.
Menurut Che Pura, dia bersyukur kerana ALLAH memelihara mereka sekeluarga daripada tercedera.
"Anak saya masa tu tengah mandi, sedangkan bilik dia dah berselerak akibat bumbung runtuh mujur dia tak ada di dalam bilik, kalau tidak saya rasa di dah kena hempap," katanya.
Che Pura berkata, rumah berkenaan adalah milik arwah ibu mertuanya dan mereka mula menduduki rumah itu sejak tahun 2006.
"Ini adalah kejadian pertama kali berlaku dan saya sekeluarga sangat terkejut dan masih lagi trauma dengan apa kejadian ini," katanya.
Seorang lagi mangsa, Ahmad Shauki Ismail, 64, berkata, ketika kejadian dia, berada di ruang tamu rumah kerana sedang berbual bersama rakan di telefon.
"Tengah saya bersembang dengan kawan, saya terdengar bunyi letupan macam angin kuat.
"Saya berlari nak buka pintu untuk keluar dari rumah tengok apa yang berlaku tetapi tak boleh sebab kereta milik adik saya dah berpusing dibawa angin dan bergerak rapat ke pintu.
"Saya keluar melalui pintu lain dan melihat tiga batang tiang rumah saya telah diangkat angin dan tiga buah kereta yang terdapat dihadapan rumah turut rosak," katanya.
Menurut Ahmad Shauki, kerugian yang dialaminya melebihi RM50,000 dan dia reda dengan apa yang berlaku.
"Benda dah jadi, apa pun kita terpaksa terima dengan hati yang tenang," katanya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Yan, Kapt (Pa), Norlizawati Ismail berkata, pihaknya akan membuka pusat pemindahan di Dewan Dato Madi, Yan.
"Bantuan pembersihan akan dilakukan pada petang ini dan insya-ALLAH kita akan lakukan sebaik mungkin," katanya.
Menurut Norlizawati, setakat ini terdapat sembilan buah rumah yang musnah secara keseluruhan daripada 14 buah kesemuanya.