KELAB pilihan Manchester United menepati jangkaan mara ke perlawanan akhir Piala FA selepas menyingkirkan cabaran Brighton & Hove Albion di Stadium Wembley.
Dalam perlawanan separuh akhir itu, The Red Devils menewaskan The Seagulls menerusi penentuan sepakan penalti yang mendebarkan selepas perlawanan berakhir dengan keputusan 0-0 selepas masa tambahan.
Iklan
Iklan
Pemain ketujuh Brighton, Solly March yang mengambil sepakan penalti menyaksikan tendangannya melewati palang sebelum Victor Lindelof mengesahkan kemenangan 7-6 untuk Manchester United.
Manchester City yang mengejar treble menanti Manchester United di final selepas menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Sheffield United 3-0 dalam satu perlawanan separuh akhir sebelum itu.
Sebagai rekod, perlawanan separuh akhir adalah perlawanan ulangan perlawanan akhir 1983, apabila Brighton tewas kepada United dalam satu-satunya penampilan pasukan pantai selatan itu dalam perebutan kejuaraan ketika itu.
Manchester United asuhan Erik ten Hag, pemenang Piala FA sebanyak 12 kali, memburu satu piala berganda selepas memenangi Piala Liga pada Februari lalu.
Perlawanan akhir Piala FA antara Manchester United menentang Manchester City asuhan Pep Guardiola dijadualkan berlangsung di Stadium Wembley pada 3 Jun depan.