Konsep Rahmah diperkenal Mahathir bukan Anwar

Iklan
Mahdzir Ibrahim

JOHOR BAHRU - Konsep 'Rahmah' yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan didakwa bukan daripada idea Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya merupakan gagasan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri ketujuh.

Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim berkata, konsep dan perkataan 'Rahmah' telah dan sedang digambarkan sebagai idea Anwar di bawah konsep Madani sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.

Iklan
Iklan

"Bagi saya naratif ini satu kesilapan yang menjolok mata, malah jatuh ke tahap pembohongan intelektual yang melampau dan tidak tahu malu.

"Rahmah bermula oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Lebih tepat lagi, gagasan baru ini disebut oleh Mahathir dalam ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Dr Mahathir ketika berucap dalam perasmian tersebut berkata, kerajaan bersetuju agar gagasan Rahmah dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia.

"Ini berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ’Alamin yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri.

Iklan

"Kita percaya dasar ini mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama, selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang telah dilancarkan Kerajaan," ujar bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, jelas sekali bahawa Rahmah sudah bermula sejak negarawan tersebut kembali menjadi Perdana Menteri dan merupakan sebuah gagasan baharu yang diikat dengan satu pelan tindakan untuk menjadikannya satu dasar negara.

Dalam konteks itu katanya, gagasan Rahmah diikat dengan WKB 2030 juga diselarikan bersama Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 sebagai pemacu kepada agenda kerajaan yang lebih besar dan terancang.

"Maka, naratif ini perlu diperbetulkan kerana gagasan Rahmah tidak memerlukan ‘Menu Rahmah’, ‘Simen Rahmah’, ‘Tol Rahmah’ dan sebagainya.

"Pastinya selepas ini akan ada lagi perkara dan benda dirahmahkan," katanya.