SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dicadang menyediakan data kontraktor untuk digunakan bagi membayar pelarasan kadar gaji minimum, termasuk tunggakan secara terus kepada pekerja dalam sektor itu.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, kedua-dua pihak kementerian itu juga perlu bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk tujuan berkenaan.
Menurutnya, tunggakan gaji adalah titik peluh pekerja yang mesti diberikan dan menerusi pendekatan itu, penahanan bon juga boleh dibuat jika kontraktor gagal membayar pelarasan kepada pekerja.
"MTUC tidak bersetuju jika kerajaaan memutuskan untuk membayar pelarasan hanya kepada kontraktor yang sudah membayar gaji minimum beserta dengan bukti pembayaran, memandangkan sudah tentu syarikat akan gagal membuktikan pembayaran.
"Cara pembayaran pelarasan ini akan menyebabkan pekerja dinafikan mendapat pelarasan dan penganiayaan terhadap pekerja bawahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kerajaan juga mesti mengambil tanggungjawab bagi memastikan majikan membayar tunggakan kepada pekerja.
Menurutnya, ia boleh dilaksanakan dengan KSM menggunakan kuasa bagi memastikan semua pekerja di sektor di bawah kontrak kerajaan mendapat hak mereka.
"Pengalaman pembayaran pelarasan perintah gaji minimum pada 2016, 2019 dan 2020 boleh dijadikan rujukan.
"Isu ini boleh menjadi barah yang mendatangkan persepsi buruk terhadap kerajaan.
"Mekanisma pembayaran pelarasan kadar gaji perlu diwujudkan supaya menjadi panduan kepada pekerja dan kontraktor setiap kali perintah gaji minimum baharu diumumkan,” katanya.
Kamarul Baharin berkata, disebabkan isu itu sudah menyebabkan ketidakadilan kepada pekerja bawahan sejak sekian lama, maka tindakan segera dan berkesan wajar diambil.
Susulan kepentingan pelaksanaan itu juga, katanya, bersempena Hari Pekerja pada 1 Mei ini, MTUC mengharapkan isu pelarasan terbabit akan dinikmati dan menjadi realiti kepada seluruh pekerja di bawah kontrak kerajaan.
Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri berhubung pelarasan kadar gaji dan upah mengikut perintah gaji minimum bagi kontrak perkhidmatan kerajaan, beliau berkata, ia amat melegakan MTUC.
Malah, beliau berkata, ia menunjukkan perjuangan MTUC dalam mendapatkan pelarasan kadar gaji minimum sudah direalisasikan Perdana Menteri selepas perjumpaan kepimpinan kesatuan itu bersama Anwar pada 28 Mac lalu.
Keterbukaan Perdana Menteri katanya, amat dihargai MTUC yang mewakili pekerja kontrak perkhidmatan kerajaan, seperti pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah, hospital serta lain yang sepatutnya menerima gaji minimum RM1,500 bermula pada 1 Mei tahun lalu.
"Majikan gagal membayar gaji minimum atas alasan kerajaan tidak membayar pelarasan kadar gaji minimum baharu.
"Tunggakan setiap pekerja sehingga sekarang boleh mencecah RM3,600 seorang,” katanya.
Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, sikap tidak bertanggungjawab majikan itu menyebabkan pekerja tempatan sendiri menjadi mangsa buruh paksa dalam sistem perburuhan di Malaysia.
"Keengganan majikan membayar gaji minimum merencatkan perkembangan ekonomi negara dan melanggar perintah gaji minimum.
"Walau apa pun sebab kegagalan majikan membayar gaji minimum dalam perkhidmatan kerajaan sama ada kelewatan kerajaan membayar pelarasan atau faktor kewangan kontraktor bermasalah, pekerja bawahan tidak boleh menjadi mangsa dengan kelemahan sistem dikuatkuasakan kerajaan. Kegagalan membayar gaji minimum mesti dilihat sebagai kelemahan sistem kontrak,” katanya
ends