Sungai Lereh tercemar lagi

Iklan
Keadaan air sungai bertukar hitam yang dilaporkan pada Khamis lalu.

MELAKA - Nelayan dan penduduk di Sungai Lereh di sini menggesa pihak berkaitan mencari punca dan mengambil tindakan masalah pencemaran sungai yang berlaku pada Khamis lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong, berkata, ini kerana bukan pertama kali kejadian air sungai bertukar hitam berlaku, sebelum ini insiden sama pernah menghantui mereka pada Februari lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu telah menyebabkan sumber air tercemar malah mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan didakwa berpunca daripada air tidak terawat yang dilepaskan dari Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang.

"Dipercayai berlaku kebocoran di tapak pelupusan itu menyebabkan air tidak terawat itu mengalir ke dalam sungai.

Iklan

"Jika benar, ia tidak sepatutnya berlaku kerana tapak itu telah lama beroperasi dan sewajarnya mempunyai sistem yang lebih rasional dan berteknologi tinggi," katanya ketika ditemui di Sungai Lereh di sini, pada Isnin.

Ban Hong melihat keadaan Sungai Lereh yang didakwa tercemar berpunca daripada Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang. (Gambar kecil: Sabri, Kamaruddin)

Tambah beliau, masalah itu menyebabkan nelayan yang terpaksa menolak perahu mahupun bot mereka ke muara sungai mengalami gatal-gatal disebabkan air yang telah tercemar.

Iklan

"Saya juga dimaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel air dan berharap tindakan tegas diambil agar masalah ini tidak berulang lagi," katanya

Ketua Nelayan Pengkalan Sungai Lereh, Kamaruddin Karim, 50, berkata, kebiasaanya air sungai bertukar kehitaman dan gelap selepas hujan dan mengeluarkan bau sangat busuk.

Menurutnya, ia sekali gus memberi impak negatif kepada pelancong memandangkan muara sungai itu sering didatangi orang ramai untuk mengambil gambar kenangan.

"Pihak berkenaan tolong ambil tindakan, tidak mustahil hidupan air seperti udang galah dan ikan yang banyak di sungai itu akan mati dan pupus," katanya.

Nelayan, Sabri Aman,50, pula berkata, selain masalah pencemaran, nelayan juga mahu laluan bot ke jeti nelayan pengkalan itu didalamkan lagi kerana nelayan terpaksa menolak perahu terutama apabila air surut.

Seorang nelayan menunjukkan kawasan muara Sungai Lereh yang perlu didalamkan lagi.

"Bila air surut sehingga paras buku lali sahaja, memang seksa kami nak tolak perahu atau bot, sama ada nak masuk ke pengkalan atau keluar ke laut.

"Harap sangat dua permasalahan ini diberikan perhatian segera agar nasib nelayan diperjuangkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Melaka, Rosly Mustafa yang dihubungi berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca berlaku pencemaran sungai itu sebelum sebarang tindakan susulan diambil.