MARANG - Perikatan Nasional (PN) akan menampilkan calon yang berwibawa dan berkaliber dalam pelbagai bidang serta calon boleh menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan terhadap pemilihan calon itu dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap beberapa faktor.
"Agihan kerusi mengambil kira beberapa faktor. Ada yang mengenai status quo, ada melibatkan jentera mana lebih kuat di sesuatu tempat dan adanya calon-calon yang berpotensi dan berwibawa.
"Setelah berbincang dengan rakan-rakan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysai (Bersatu) dan Gerakan, prioriti nombor satu kita ialah berpotensi menang (winnability). Kita nak maksimumkan kemenangan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Tarik Pukat Raya 2023 bersama anak perantau di Pulau Kekabu, di sini, pada Isnin.
Beliau memberitahu, agihan kerusi di negeri-negeri terlibat dalam pilihan raya itu kini sudah di peringkat akhir iaitu hampir 90 peratus.
Jelas beliau, keputusan itu diperoleh menerusi sesi libat urus bersama enam negeri yang terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
"Kebanyakan daripada negeri-negeri itu telah selesai berbincang mengenai agihan kerusi dimana lebih kurang 85 peratus hingga 90 peratus telah selesai.
"Tinggal satu dua kerusi lagi bagi setiap negeri yang perlu diputuskan oleh kepimpinan tertinggi mewakili parti masing-masing. Mereka akan duduk kembali untuk berbincang. Mungkin perbincangan seterusnya selepas musim perayaan ini," katanya.
Dalam pada itu, katanya, PN akan menggunakan lambang Pas di Kelantan dan Terengganu manakala empat negeri lain iaitu Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan menggunakan lambang PN sebagaimana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Kita akan maksimumkan kemenangan sama ada atas nama Pas atau PN di negeri-negeri yang bertanding menggunakan lambang PN atau lambang Pas," ujar beliau.
Mengulas mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, katanya, ia akan dibubarkan sebelum akhir Jun dan jentera parti kini dalam keadaan bersiap siaga.
"DUN Terengganu akan dibubarkan sebelum tempoh tamat di mana tempoh tamat adalah hari terakhir pada bulan Jun. Mungkin tak jauh beza dengan Kelantan..mungkin kita bubar selepas Kelantan bubar.
"Dari segi persiapan, kita sudah bersedia sejak tahun lepas lagi malah ketika PRU15 lalu kita dah bersedia untuk hadapi PRN.
"Namun, disebabkan beberapa pertimbangan-pertimbangan yang dibuat pada waktu itu, kita tangguh dahulu pilihan raya di negeri ini,"katanya.