Syawal tanpa rumah terbuka, mandi tumpang air telaga

Iklan
Daerah seperti Kota Bharu, Bachok, Tumpat dan Pasir Mas antara yang terjejas teruk dengan masalah air pada musim perayaan Aidilfitri 2023. - Gambar hiasan

KOTA BHARU - Masalah ketiadaan air di beberapa lokasi di negeri ini yang meruncing menyebabkan pengguna terpaksa menjalani rutin seperti mandi sunat satu Syawal dengan menumpang air telaga rumah jiran.

Tinjauan Sinar Harian mendapati daerah seperti Kota Bharu, Bachok, Tumpat dan Pasir Mas antara yang terjejas teruk dengan masalah air pada musim perayaan Aidilfitri 2023.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga, Yani Zainal Abidin, 35, dari Kampung Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas berkata, keadaan membebankan bermula tiga hari sebelum Ramadan itu berlarutan dan masih belum ada penyelesaian sehingga ke hari ketiga Syawal.

"Sebelum ini pernah tidak ada air di kawasan kampung tetapi waktu tengah malam air ada dan penduduk akan menggunakan enjin untuk menyedutnya ke tangki masing-masing.

Iklan

"Kali ini tidak ada langsung sudah lebih sebulan dan lebih mengecewakan lagi apabila tiga kali aduan dibuat untuk meminta pihak berkenaan menghantar tangki air juga gagal diperolehi hingga sekarang,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Menurutnya, lebih melelahkan apabila terpaksa memunggah 10 gelen air sebanyak tiga trip setiap hari sepanjang Ramadan dengan menggunakan dua motosikal sejauh satu kilometer dari rumah.

Iklan

"Saya berniaga bersama dua rakan dan perlu menyiapkan tempahan nasi minyak serta nasi hujan panas yang dipesan bagi menyambut hari raya.

"Terlalu perit nak siapkan tempahan itu sehinggakan sambutan raya di rumah sendiri pun tidak ada juadah yang meriah-meriah kerana payah akibat tidak ada air,” ujarnya.

Keadaan air dari telaga tiub di Jelawat, Bachok. (Gambar kecil: Rohaiza, Yani, Mohammad)

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Permata Machang, Jelawat, Bachok Mohammad Ismail, 55, sudah enam tahun tidak mengadakan majlis rumah terbuka akibat masalah air yang dihadapi di kampung berkenaan.

"Tetamu datang, terpaksa jamu mereka dengan menggunakan bekas makanan dan cawan polisterina supaya dapat buang terus tanpa perlu dicuci.

"Dua enjin sedut air telaga tiub yang dipasang dapat kualiti air sangat teruk iaitu masam, kelat dan keruh pekat tetapi tetap guna sebab tidak ada pilihan lain. Setiap hari akan tukar empat penapis dengan kos sekitar RM6 sehari,” katanya.

Menurut Mohammad, air minuman pula akan dibeli di kedai setiap sehari manakala pakaian pula akan menggunakan dobi dengan kos RM15 sehari.

Dalam pada itu, seorang penulis sambilan, Rohaiza Abdul Rahman, 44, berkata, mandi jenazah jiran yang meninggal dunia dua hari sebelum Aidilfitri terpaksa menggunakan air telaga tiub yang baru dibuat oleh penduduk kampung di Limbat, Pasir Tumboh kerana masalah tidak ada air bermula sebelum Ramadan.

"Saya tiga kali pindah rumah sewa dan hari raya sambut di rumah ibu kerana masalah air. Pihak berkaitan sediakan tangki dan kami ulang-alik punggah air yang berat itu sejauh kira-kira 500 meter dari rumah. Terlalu terbeban dan ‘terdera’ mental serta fizikal.

"Sudah tiba masa syarikat pengurusan air diswastakan sepenuhnya supaya masalah air dapat diatasi demi menjaga kepentingan rakyat jelata dan bukan memberikan kami penderitaan menunggu air tiba selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun,” kata wanita itu.