KUALA TERENGGANU - Penduduk di sekitar daerah ini mengakui lebih rela berada di rumah berbanding bersiar-siar di luar kerana tidak tahan dengan keadaan cuaca yang panas.
Rosdin Mat Noh, 63, berkata, dia lebih rela menghabiskan masa dengan berada di rumah dan hanya akan keluar pada sebelah petang sekiranya perlu.
"Biasa cuaca musim panas ni saya lebih suka duduk rumah daripada berpanas di luar. Mandi pun kalau boleh tiga kali sehari.
"Kalau ada keperluan barulah saya keluar misalnya mahu membeli barangan dan seumpamanya. Kalau setakat untuk berjalan-jalan tu saya rasa lebih baik berada di rumah sebab keadaan cuaca agak panas," ujarnya ketika ditemui di sini, pada Isnin.
Sementara itu, menurut peniaga, Mohd Zain Ibrahim, 38, kawasan di sekitar tempat tinggalnya di Marang sudah agak lama tidak hujan.
"Seingat saya hampir sebulan juga kawasan di rumah tidak hujan. Keadaan cuaca agak kering, berdebu dan panas," katanya.
Dia yang berniaga ais krim dengan menaiki motosikal akan keluar berniaga di kawasan taman rekreasi dan kawasan kampung pada sebelah pagi dan petang.
"Kalau sebelah petang, ya ramai orang. Kalau nak berniaga pun saya akan keluar balik pada sebelah petang," ujarnya.
Katanya, ada pelanggan mengadu mahukan sesuatu yang sejuk untuk menghilangkan dahaga dan sakit tekak.
"Musim panas ni ada juga pelanggan yang mengadu sakit tekak. Kalau demam tu saya rasa kurang.
"Ramai juga yang cari ais krim sebab nak hilangkan dahaga," katanya yang menjual ais krim potong sejak 16 tahun lalu.
Seorang lagi penduduk, Akma Manan, 23, berkata, keadaan cuaca panas yang disifatkan agak luar biasa bermula Ramadan lalu dan berlarutan sehingga kini.
"Sejak puasa lagi cuaca panas melanda. Waktu tu dah tak pernah hujan. Ada masa-masa tertentu cuaca mendung seolah mahu hujan tapi tak hujan.
"Sebab itulah ramai yang tidak keluar rumah dan lebih selesa duduk di rumah. Bimbang juga kalau terkena strok haba," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin melaporkan terdapat tujuh kawasan di semenanjung dan dua di Sabah mencatatkan suhu maksimum 35 hingga 37 darjah celcius.
Menurutnya, kawasan yang terlibat di semenanjung ialah Kuala Terengganu (Terengganu), Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah (Kelantan), Rompin (Pahang) dan Jempol (Negeri Sembilan).
Manakala di Sabah dan Sarawak pula terdapat dua kawasan iaitu di Beaufort dan Nabawan mencatatkan bacaan cuaca panas tahap 1 (berjaga-jaga).