Hasrat OKU sambut Aidilfitri di hotel tercapai

Iklan
Azmi (kiri) bersama salah seorang penghuni yang turut meraikan Aidilfitri di sebuah hotel terkemuka di Alor Setar.

SUNGAI PETANI - Hasrat seorang lelaki kurang upaya (OKU) menyambut Aidilfitri di sebuah hotel terkemuka di Alor Setar, terlaksana setelah keinginannya dipenuhi pihak pengurusan sebuah pusat jagaan di sini.

Azmi Abdullah Ismail, 42, berkata, dia yang menjadi penghuni Rumah Qaseh Ayah, di Taman Lembah Merbok, sejak kira-kira dua tahun lalu, teruja apabila berkesempatan untuk bermalam di hotel pada hari raya tahun ini.

Iklan
Iklan

Semasa kecil, Azmi yang berasal dari Terengganu pernah berdepan saat getir apabila koma selama tiga bulan selepas dilanggar sebuah van ketika ingin ke tempat mengaji semasa berusia sembilan tahun sehingga berdepan komplikasi kesihatan lain termasuk masalah pembelajaran.

"Saya mengambil masa selama tujuh bulan untuk sembuh dan boleh berjalan semula sebelum dibenarkan semula menyambung persekolahan," katanya.

Iklan
Azmi (kanan) bersama petugas dan salah seorang penghuni yang menyambut Aidilfitri di sebuah hotel terkemuka di Alor Setar.

Menceritakan kisah hidupnya, Azmi menjelaskan, ibu yang menjadi tempat bermanja, meninggal dunia pada usianya 17 tahun.

"Dua tahun selepas itu, ayah pula meninggal dunia menyebabkan saya dipelihara oleh ibu saudara.

Iklan

Jelas Azmi, setelah dipindahkan ke tempat baharu, dia cuba menyesuaikan diri selain mengikuti jadual harian penghuni yang disediakan termasuk melakukan aktiviti bersama, mengaji al-Quran dan beriadah.

Dia bagaimanapun bersyukur apabila diberi peluang merasai pengalaman beraya di salah sebuah hotel terkemuka di negeri ini kerana tidak mempunyai saudara-mara sekiranya ingin pulang ke kampung halaman.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia, Natipah Abu berkata, Azmi merupakan salah seorang penghuni yang tidak pulang ke kampung kerana sebatang kara, yang juga merupakan anak angkat yang dipelihara sebuah keluarga sejak kecil.

"Bagi menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, kami sediakan keselesaan buat mereka sambut di hotel, ada kenalan, ahli keluarga dan petugas yang datang menghantar makanan termasuk ketupat dan kuih-muih.

"Mereka juga disediakan baju raya lengkap sama seperti orang lain, dengan harapan mampu menambah keceriaan sepanjang perayaan kali ini,"jelasnya.

Menurut Natipah, Azmi dan seorang lagi penghuni dijangka pulang ke rumah jagaan pada Isnin setelah beberapa hari meraikan Aidilfitri di hotel tersebut.