LIMA - Bekas Presiden Peru, Alejandro Toledo dipenjarakan pada Ahad, beberapa jam selepas beliau tiba di tanah air setelah diekstradisi dari Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah.
Rakaman disiarkan stesen TV menunjukkan Toledo, 77, tiba di Lima dari Los Angeles dan turut diiringi anggota Interpol yang menyerahkannya kepada pihak berkuasa tempatan.
Toledo yang berkhidmat pada 2001 hingga 2006 kemudiannya diterbangkan menaiki helikopter ke penjara Barbadillo.
Bekas pemimpin itu dijangka meringkuk di dalam penjara sementara menunggu perbicaraan dalam tempoh 18 bulan.
Beliau dikehendaki oleh pendakwa raya berhubung siri skandal melibatkan konglomerat pembinaan tempatan, Odebrecht setelah Toledo didakwa menerima wang suapan berjumlah jutaan dolar sebagai pertukaran untuk mendapatkan kontrak kerja awam.
Toledo menafikan tuduhan yang dikenakan ke atasnya malah beliau telah memfailkan beberapa petisyen untuk menghalang permohonan ekstradisi yang dikemukakan oleh Peru sejak 2018.
Peguamnya, Roberto Su dalam satu kenyataan memaklumkan anak guamnya 'mengalami banyak kesakitan' dan turut menderita barah, namun dia tidak memberikan butiran lanjut.
Toledo menetap di Washington selama beberapa tahun sebelum menyerah diri di Mahkamah Persekutuan di San Jose, California pada Jumaat dan kemudiannya diserahkan kepada Perkhidmatan Marsyal AS. - AFP
Info >Penjara Barbadillo turut menempatkan bekas Presiden, Alberto Fujimori (1990-2000) dan Pedro Castillo (2021-22).