KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim cedera di muka dan tangan selepas terjatuh dari benteng pemecah ombak di Pulau Kambing pada jam 8 pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika beliau ingin meninjau kapal KM Pekan milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) mengiringi enam bot nelayan Vietnam yang ditahan di perairan Terengganu berhampiran pelantar minyak masuk ke jeti.
"Oleh kerana saiz KM Pekan agak tinggi, ia terhalang oleh drawbridge. Untuk melihat kapal ini masuk dengan lebih jelas, saya telah pergi ke belakang Kuala Terenggganu Supply Base dengan menaiki benteng pemecah ombak di situ.
"Kaki saya yang ada masalah gout tiba-tiba sakit, ketika itulah saya terjatuh kerana gagal imbangi badan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Bagaimanapun kata Ahmad Amzad, kecederaan dialami tidak begitu serius dan beliau hanya dirawat di rumah oleh isterinya, Dr Nur Diana Ahmad Takri yang merupakan seorang pegawai perubatan.
Ahmad Amzad kemudian meneruskan rutinnya sebagai wakil rakyat seperti biasa selepas mendapat rawatan dengan mengunjungi pejabat Maritim Terengganu bagi mengucapkan penghargaan kepada agensi itu atas usaha menahan nelayan asing yang menceroboh perairan negara.
"Kehadiran saya diterima baik oleh kakitangan yang sempat berkongsi banyak maklumat yang boleh membantu saya mengetengahkan lagi isu pencerobohan nelayan Vietnam ke Parlimen.
"Isu ini besar kerana melibatkan kehilangan hasil perikanan bernilai RM6 billion setahun serta ancaman keselamatan kepada kepentingan ekonomi negara, industri pengeluaran petroleum di tengah perairan dan kedaulatan negara,” katanya.