KUALA LUMPUR - Saban tahun keluarga menantikan kepulangan Darwis Sumala Suratman, 39 yang telah menghilang selama 17 tahun.
Adiknya, Mohd Hashimy Suratman, 36, berkata, abangnya hilang sejak 2006 ketika berusia 22 tahun sewaktu bekerja kontrak di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, usaha mencari abangnya itu tidak pernah berhenti dan berharap kuasa tular pada kali ini menemukan jawapan kehilangan Darwis Sumala yang beralamat terakhir di Pantai Dalam di sini.
"Aku sentiasa ingat selagi ada nyawa. Di mana pun kau (berada), baliklah. Aku pun tak tahu kau masih ada atau tak.
Mohd Hashimy memaklumkan telah menggunakan pelbagai kaedah dalam usaha mencari abangnya termasuk semakan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Kemas kini terakhir di KWSP adalah pada 2003 manakala info JPN dan agensi lain pula masih menggunakan alamat rumah lama di Pantai Dalam.
"Semakan di pelbagai agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis serta MySejahtera semua masih menggunakan rekod lama," jelasnya.
Tidak tamat di situ, Mohd Hashimy turut memberitahu telah mendapatkan bantuan polis Thailand di selatan negara selain menularkan kehilangan abangnya setiap tahun namun tiada berita gembira diterima setakat ini.