PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak akan berhenti bersuara demi kebaikan arena bola sepak negara.
Menurut Tunku Ismail, sekiranya ada mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangannya, beliau tidak kisah dan akan terus berkongsi pendapat.
"Semasa saya ditanya ada tak apa-apa pesanan buat penyokong bola sepak tempatan sempena hari raya? Saya jawab selamat hari raya, maaf zahir batin kepada semua penyokong dan juga kepada mana-mana pihak yang tersinggung.
"Tetapi ia bukan bermakna saya kesal atau akan berhenti bersuara berdasarkan fakta dalam hal ehwal atau senario bola sepak tempatan.
"Jika ada pihak tak boleh terima, itu terpulang kepada pendapat masing-masing. Saya akan terus bersuara dan berkongsi pandangan mengenai industri bola sepak negara,” kata Tunku Ismail di laman sosial miliknya.
Pada masa sama, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berharap forum bola sepak bersama pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab Liga Malaysia (Liga-M) dapat direalisasikan demi hak penyokong bola sepak tanah air.
"Kita harus beri keutamaan dan kebebasan kepada penyokong untuk tanya apa sahaja soalan. Jangan kita sembunyi di belakang surat.
"Bersemuka dengan penyokong adalah cara terbaik. Berani kerana benar. Jangan layan orang gila dan jangan sanjung orang penakut,” ujarnya.
Persatuan Penulis Sukan-Sukan Malaysia (SAM) dilaporkan sedang berusaha untuk mengundang semua pemilik atau CEO kelab Liga-M untuk satu sesi forum secara ‘siaran langsung’ dengan penyokong.
Forum tersebut dicadangkan TMJ sebagai platform kepada penyokong mendapatkan perkembangan terkini kelab masing-masing.