KOTA BHARU - Ike (ikan) bekok yang sinonim dengan negeri Kelantan menjadi pilihan anak perantau untuk dibawa ke luar Kelantan selepas pulang berhari raya.
Justeru, pengusaha ike bekok, Nor Azreena Mohd Noor, 39, memproses ikan itu lebih awal dibantu pembantunya, Zainab Husin, 33, khusus untuk pelanggan yang menggemari aroma dan rasa ikan itu.
Menurut Nor Azreena, ramai perantau yang pulang akan singgah di gerainya di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai untuk membeli pelbagai jenis ikan bekok.
"Saya memproses antara 50 hingga 100 kilogram ikan sepanjang puasa dan hari raya ini sebagai persediaan untuk jualan.
"Ike bekok biasanya boleh tahan lebih sebulan jika disimpan dalam peti sejuk dan enak dimakan panas bersama nasi," katanya di sini pada Selasa.
Bagaimanapun katanya, ramai peminat ike bekok memilih ikan gelama gigi kerana rasanya yang lemak dan enak," katanya.
Jelasnya, bekalan ikan diambil dari beberapa kawasan termasuk Tok Bali, Pasir Puteh; Jelawat, Bachok dan Geting, Tumpat.
Katanya, memproses ikan untuk dijadikan ike bekok tidak sukar kerana ikan hanya disiang sebelum direndam dalam air garam selama setengah jam.
"Ikan kemudian dijemur sehingga air kering dan disimpan dalam peti sebelum dijual kepada pelanggan pada harga antara RM25 hingga RM40 sekilogram bergantung kepada jenis ikan," katanya.
Bagaimanapun katanya, ketika ini menjemur ikan lebih cepat kering kerana cuaca panas dan tidak mengambil masa lama untuk memprosesnya.
Nor Azreena turut berkongsi bahawa tidak semua ikan boleh dijadikan ike bekok kerana ada antaranya boleh menyebabkan kegatalan jika dimakan.