Kelapa dimasukkan sebagai barangan kawalan

Iklan
Saifuddin (kanan) membuat lelongan bantal buatan tempatan yang dijual pada Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang diadakan malam tadi.

GEORGETOWN - Majlis Tindakan Sara Hidup Negara meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk meneliti beberapa barangan keperluan pengguna yang perlu dimasukkan sebagai barangan kawalan.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mengenal pasti barangan itu dan memasukkannya sebagai barangan kawalan termasuk komponen sayur-sayuran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini pihaknya bercadang untuk memasukkan kelapa sebagai barangan kawalan namun belum menetapkan sama ada ia akan dimasukkan dalam barangan kawalan sepanjang masa seperti minyak masak, tepung dan gula ataupun hanya Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sahaja.

"Kami telah adakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian kerana kita adalah kementerian yang mengawal bekalan. Kelapa adalah salah satu produk yang dibawa masuk dengan menggunakan AP. Kita dapati harga kelapa yang dibawa masuk ke negara ini lebih murah dengan harga kelapa tempatan iaitu 85 sen sahaja.

Iklan

"Tapi keperluan kelapa ini sangat banyak dan hampir setiap hari kita gunakan terutamanya pada musim perayaan. Jadi sama ada kita nak masukkan juga sebagai item barangan kawalan semasa perayaan atau nak masuk sebagai item barangan di luar musim perayaan itu belum kita tentukan lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia yang diadakan di sini malam semalam.

Saifuddin (tiga dari kanan) menunjukkan durian yang dihidangkan secara percuma kepada orang ramai sempena Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang diadakan malam tadi.

Hadir Sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin; Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muaz Abdul Aziz dan Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar.

Iklan

Saifuddin berkata, pihaknya juga telah adakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian untuk mendapat kepastian daripada sudut bekalan.

Katanya, tidak ada makna pihaknya membuat harga kawalan sekiranya bekalan barangan tidak terjamin.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya juga sedang meneliti empat barangan keperluan lain yang akan dimasukkan sebagai barangan kawalan. Bagaimanapun katanya, ia masih lagi dalam peringkat kajian.

Sementara itu, mengulas mengenai Kempen Beli Barangan Malaysia, Saifuddin berkata, Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk pihaknya menjayakan kempen berkenaan di seluruh negara.

Beliau berkata, kempen ini akan dilaksanakan di seluruh Malaysia dan ia memberi peluang kepada rakyat untuk berjimat berbelanja selain menyokong usahawan tempatan yang mengeluarkan produk mereka.

"Penganjuran kempen yang diadakan selama tiga hari di Pulau Pinang ini adalah kali kedua yang mana sebelum ini kempen yang sama telah diadakan di Sandakan, Sabah.

"Seterusnya ia akan berlangsung di Kulim dan diikuti dengan Port Dickson yang akan diadakan pada 4 Mei depan. Kempen seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan yang lebih mura sekali gus mengajak kita untuk menyokong barangan keluaran tempatan yang turut mempunyai kualiti tinggi setanding barangan buatan luar," katanya.