SHAH ALAM - Seramai 30 rakyat Malaysia yang terperangkap di Khartoum, Sudan berjaya diselamatkan pada Isnin.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, kesemua mereka selamat tiba di Port Sudan pada jam 2.07 petang waktu Sudan iaitu bersamaan 8.07 malam waktu Malaysia setelah melalui perjalanan sejauh 1,233 kilometer (km) dengan mengambil masa selama 30 jam.
Ujarnya, pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia juga berjaya membantu mengeluarkan 26 warganegara lain untuk turut sama dalam proses evakuasi tersebut.
Beliau berkata, 26 warganegara lain itu merangkumi seorang warga Filipina; enam warga Kemboja; 14 warga Singapura; seorang warga Thailand; dua warga Amerika Syarikat; seorang warga Palestin dan seorang warga Sudan.
"Dua rakyat Malaysia yang tidak terlibat dengan proses evakuasi tersebut berkhidmat di United Nations Mission in Sudan (UNMIS) di Abyei dan proses evakuasi mereka akan dilakukan oleh pihak United Nations.
"Ini bergantung kepada opsyen mana yang akan mendapat kelulusan paling cepat dan segera daripada pihak berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada 21 April lalu, dua rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.
Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.
Konflik bersenjata berkenaan tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Mengulas lanjut, Zambry berkata, keadaan rakyat Malaysia dan warganegara lain dalam konvoi Malaysia tersebut dimaklumkan sihat dan selamat.
"Sama-sama kita doakan agar proses mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan sesegera mungkin dan seterusnya kesemua mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat," jelasnya.