NEW YORK - India akan mengatasi China sebagai negara berpopulasi paling ramai di dunia pada akhir bulan ini dengan jumlah penduduk mencecah hampir 1.43 bilion orang.
"Penduduk di New Delhi akan berjumlah 1,425,775,850 orang,” ujar Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.
Ketika ini, hampir separuh populasi gergasi Asia Selatan yang merentasi dari Himalaya hingga ke pantai Kerala itu berusia di bawah 25 tahun.
India bagaimanapun berdepan cabaran besar untuk menyediakan bekalan elektrik, makanan dan perumahan untuk penduduknya yang semakin bertambah.
Menurut Pusat Penyelidikan Pew, jumlah penduduk di New Delhi meningkat lebih satu bilion orang sejak 1950 iaitu pada tahun PBB mula mengumpulkan data populasi dunia.
Laporan baharu PBB itu juga menganggarkan populasi global akan mencecah 8.045 bilion orang menjelang pertengahan 2023 dengan satu daripada lima penduduk di bumi adalah dari India.
Angka diterbitkan agensi antarabangsa itu pada Julai lalu menunjukkan negara lain, kebanyakannya di Eropah dan Asia bakal menyaksikan kemerosotan demografi dalam tempoh beberapa dekad akan datang.
Selain itu, populasi di seluruh dunia dijangka menurun pada 2090-an selepas ia mencapai kemuncak pada angka 10.4 bilion orang.
Pada tahun lalu, Beijing yang memegang rekod sebagai negara berpopulasi paling ramai di dunia sejak kejatuhan Empayar Rom merekodkan penyusutan populasi buat pertama kali sejak 1960. - AFP