DEMI menjayakan misi memburu pingat emas pada penampilan sulungnya di temasya Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja bulan depan, penerjun muda negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj terpaksa melupakan kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama keluarga di Kuching, Sarawak.
Anak kepada bekas penerjun wanita Sarawak, Victory Emmy itu bagaimanapun mengakui perkara itu sudah menjadi lumrah kehidupannya sebagai seorang atlet yang telah biasa berjauhan dari keluarga sejak berusia 14 tahun lagi.
"Tahun ini saya hanya diberi cuti selama dua hari (22 April dan 23 April). Jadi saya memilih untuk beraya di bilik di Bukit Jalil bersama rakan atlet yang tidak pulang ke kampung untuk sambutan Aidilfitri.
"Saya hanya menyambutnya secara sederhana dengan menelefon keluarga tercinta di pagi Hari Raya dan membeli makanan di luar untuk makan bersama kawan-kawan. Namun, saya amat merindui masakan tempoyak oleh ibu dan kari ayam ayah saya di Sarawak," katanya ketika dihubungi.
Nur Eilisha Rania turut memaklumkan telah kembali menjalani latihan semalam bersama jurulatih Li Jun Bai untuk memperkemaskan teknik terjunannya bagi memastikannya mampu memberikan saingan sengit di temasya dwitahunan itu.
Selain latihan, penerjun berusia 17 tahun itu turut menjadikan nasihat atlet senior sebagai pembakar semangat bagi membolehkannya mengikut jejak langkah mereka mencipta kejayaan di beberapa siri kejohanan peringkat antarabangsa termasuk Sukan Olimpik.
Beliau yang akan berangkat ke Kemboja pada 5 Mei bersama skuad terjun negara, dijadual menyertai acara terjun 10 meter (m) platform wanita.
"Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan membawa balik pingat emas untuk Malaysia. Walaupun saya akui ada sedikit tekanan (tiada penyertaan atlet senior), namun saya berharap semua pihak percaya pada (kebolehan) atlet muda," katanya.
Pada temasya sukan SEA-32 di Kemboja pada 5 hingga 17 Mei ini, skuad negara membariskan pasukan terjun pelapis untuk memburu kilauan pingat emas.
Pada edisi di Hanoi, Vietnam, skuad terjun menyapu bersih kesemua lapan pingat emas serta meraih tiga perak dan satu gangsa. - Bernama