PERTEMBUNGAN Liga Perdana Inggeris yang dinanti-nantikan antara Arsenal dan Manchester City akan menjadi sangat penting untuk kelab utara London itu.
Namun tegas pengendali Arsenal, Mikel Arteta, ia tidak akan menentukan musim The Gunners yang telah menampilkan prestasi tahap terbaik musim ini.
Arsenal sebelum itu kehilangan cengkaman perebutan kejuaraan selepas memperoleh keputusan seri dalam tiga perlawanan terakhir yang menyaksikan kelab tersebut hanya lima mata mengatasi juara bertahan City, setelah bermain lebih dua perlawanan daripada angkatan Pep Guardiola.
City, sebaliknya, telah berada dalam prestasi padu melakar kemenangan ketika The Citizens menyasarkan treble yang sukar dicapai selepas menyambar slot final Piala FA dan separuh akhir Liga Juara-Juara.
Arsenal bertandang ke City awal pagi Khamis, berharap untuk mendapatkan semula kawalan dalam perlumbaan kejuaraan ketika mereka mencari trofi Liga Perdana Inggeris pertama sejak 2003-04.
"Kami mahu merapatkan jurang sebanyak yang kami boleh, kini kami saling berjauhan.
"Kami juga tahu perlu pergi ke Etihad dan selepas itu kami akan menghadapi lima perlawanan yang sangat sukar.
"Jadi perlawanan itu (pada awal pagi Khamis) akan menjadi sangat penting. Adakah ia akan menentukan musim ini? Jawapannya tidak,” kata Arteta.
Sebagai rekod, Arsenal tewas tujuh pertemuan terakhir berdepan City dalam semua pertandingan dan tidak pernah menang di City dalam liga sejak 2015.
Namun Arteta menegaskan bahawa dia mempunyai 100 peratus kepercayaan kepada pasukannya untuk menentang City..
"Saya melihat bagaimana reaksi pemain (selepas perlawanan terakhir), mereka mempertahankan satu sama lain dalam setiap saat.
"Kami benar-benar mahukannya dan kami sekali lagi akan menunjukkannya malam esok.
"Tetapi anda perlu menyampaikan pada masa yang tepat, prestasi yang betul. Ia mesti sempurna kerana itulah yang dituntut pada masa ini (dalam musim),” tambah Arteta.
Ditanya sama ada pertembungan itu akan menjadi 'pemenang-ambil-semua', Arteta berkata:"Tidak, jika kami menang esok kami belum memenangi liga. Ia mungkin akan mengubah peratusan, tetapi lima perlawanan dalam liga ini masih sangat rumit.”
Sementara itu, ditanya sama ada pemain pertahanan Saliba boleh didapati untuk lawatan ke Etihad, Arteta menambah:"Saya akan menyerahkan perkara itu kepada doktor. Kami sedang bersedia untuk perlawanan ini tanpa dia, kami perlu pergi minggu demi minggu.”