BAGAN SERAI - Sejumlah 60 peratus atau 14,400 daripada keseluruhan 24,000 anggota bekas tentera di Perak masih belum memiliki rumah sendiri sehingga kini.
Yang Dipertua (YDP) Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Perak, Leftenan Kolonel (Bersara) Aminuddin Ab Karim berkata, hampir keseluruhan anggota bekas tentera yang menjadi ahli PVATM di negeri ini terpaksa menyewa atau menumpang di rumah keluarga kerana tidak mampu membeli rumah sendiri.
Menurutnya, faktor ketidakupayaan bekerja, kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana usia lanjut dan penerimaan wang pencen sedikit adalah punca utama kebanyakan anggota bekas tentera masih berdepan kesulitan untuk membeli rumah.
"Justeru, PVATM Perak merayu kerajaan negeri agar mempertimbangkan cadangan pemberian tanah lot kurniaan kerajaan kepada anggota bekas tentera layak secara berperingkat.
"Mungkin pada peringkat awal, keutamaan diberikan kepada anggota PVATM yang menjalani kehidupan daif, sakit dan masih belum memiliki rumah sendiri," katanya kepada media pada program mesyuarat agung PVATM cawangan Bagan Serai ke-20 di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Aminuddin berkata, kerajaan Perak terdahulu ada merencana pembangunan Program Rumah Perwira di beberapa daerah di negeri ini yang menfokuskan penyediaan rumah bantuan kerajaan kepada anggota bekas tentera yang memerlukan.
Bagaimanapun, program itu difahamkan ditangguhkan setelah PH mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dan Pusat.
"PVATM Perak yakin kerajaan baharu mungkin ada dasar baharu yang lebih baik yang sedang direncana bagi meningkatkan kualiti hidup anggota bekas tentera di negara ini.
"Cuma bagi penyelesaian jangka masa pendek, kita mengharapkan kerajaan negeri dapat mempertimbangkan pemberian lot tanah perumahan memandangkan ramai dalam kalangan veteran tentera tidak mampu membeli rumah ditawarkan pemaju," katanya.
Sementara itu, Noor Azmi ketika ditemui menegaskan kerajaan PH sudah mula mendengar rintihan veteran tentera negara ini apabila meluluskan pemberian bantuan 'one off' Bantuan Harapan Negara (BHN) bernilai RM500 kepada anggota yang tidak menerima pencen atau pencen kurang RM1,000.
Namun, beliau meminta Kementerian Pertahanan mempertimbangkan pemberian BHN kepada veteran tentera yang diberhentikan secara tindakan tatatertib agar mereka turut sama menerima manfaat daripada kerajaan baharu.
"Saya turut bersetuju dengan cadangan pemberian tanah lot perumahan oleh PVATM Perak kepada kerajaan Perak kerana dengan cara ini, kehidupan veteran tentera akan lebih baik dan dihargai," katanya.