150 guru GPM sertai Karnival Pendidikan Sinar Bestari

Iklan
Mohd Nuri

PENGLIBATAN Guru Perpustakaan dan Media (GPM) pada Karnival Pendidikan Sinar Bestari kali ini sangat penting bagi memperkasakan mereka agar mahir dalam teknologi digital.

Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Mohd Nuri Hussin berkata, sebelum ini kepakaran GPM terarah kepada pelbagai jenis sumber bercetak dan bukan cetak.

Iklan
Iklan

"Kita mahu GPM dapat membangunkan bahan bantu me-ngajar (BBM) yang menarik dan mampu menyediakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) menggunakan teknologi digital.

"Kerana itu, kita tawarkan tempat kepada 150 GPM seluruh Selangor bagi menyertai Seminar GPM pada Karnival Pendidikan Sinar Bestari nanti.

Iklan

"Tujuan ia diadakan bukan mahu beri pengalaman semata-mata tetapi kita mahu GPM mendapat ilmu digital baharu selaras dengan era pendidikan hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas beliau lagi, penyertaan Seminar GPM telah ditutup, namun pihaknya masih lagi menerima borang permohonan daripada guru-guru yang ingin menyertainya.

Iklan

"Tempat sangat terhad. Mungkin kita akan adakan program yang lain untuk GPM yang tidak dapat sertai seminar kali ini,” ujarnya.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang merupakan karnival pendidikan terbesar di Selangor bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 10 hingga 12 Mei di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.

Mengulas lanjut mengenai uji bakat TV PSS pada karnival tersebut, Mohd Nuri berkata, ia adalah usaha yang baik dalam membimbing murid-murid ke arah kerjaya berkaitan media sosial pada masa hadapan.

"Menerusi penyertaan TV PSS, murid-murid berpeluang menimba ilmu dalam bentuk digital dengan menjadi penyampai berita, wartawan, penulis skrip dan editor.

"Jadi, saya mengalu-alukan penglibatan semua murid untuk menyertai uji bakat TV PSS, sekali gus menjadi medan buat mereka menyampaikan berita dengan betul dan bukan menyebarkan perkara-perkara negatif,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Mohd Nuri memuji usaha gigih yang dilakukan GPM di Selangor yang sentiasa memberi yang terbaik untuk PSS masing-masing.

"Saya dapat tahu mereka telah menghasilkan banyak inovasi, naik taraf PSS dengan dekorasi hiasan yang kondusif dan menarik serta banyak lagi.

"Cara ini sedikit sebanyak dapat menarik minat pelajar untuk berkunjung ke PSS, sekali gus dapat mempelajari ilmu digital dengan mereka,” ujar beliau.