Sambut baik forum terbuka

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Selasa. (Gambar kecil: Stanley dan Satwant)

FORUM terbuka bersama-sama penyokong kelab bola sepak bukan perkara baharu dalam era bola sepak moden.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City (KL City) FC, Stanley Bernard berkata, interaksi perlu lebih kerap dilakukan bagi membolehkan penyokong mengetahui perkembangan terkini.

Iklan
Iklan

Jelas Stanley lagi, pihaknya aktif mengadakan pemakluman perkembangan terkini berkenaan kelab dalam platform sidang akhbar sejak menguruskan KL City.

Menurutnya, kebanyakan penyokong mahu mengetahui perkara asas seperti sasaran dan hala tuju serta indeks petunjuk prestasi (KPI) kelab daripada pengurusan yang menjalankan operasi kelab.

Iklan

"Sejujurnya kita tidak nafikan dalam sesi forum terbuka sebegini akan berlaku percanggahan pendapat kerana setiap penyokong mempunyai pandangan masing-masing.

"Paling penting pada pengakhirannya kita semua akan meletakkan kepentingan kelab sebagai keutamaan paling tinggi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan satu forum terbuka diadakan melibatkan semua pemilik kelab Liga-M demi kemajuan bola sepak negara.

Menurut TMJ, forum terbuka itu diadakan untuk memudahkan penyokong bertanya sebarang persoalan mengenai perkembangan kelab masing-masing.

Ditanya masa sesuai mengadakan forum terbuka bersama-sama penyokong Stanley berkata:"Masa sesuai mengadakan sesi bertemu penyokong adalah pada awal musim dan penghujung musim.

"Pada awal musim penting bagi membolehkan kelab berkongsi sasaran diletakkan terhadap pasukan musim itu.

"Penghujung musim pula bagi membolehkan kelab membentangkan pencapaian diraih sepanjang saingan liga.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Satwant Singh berkata, pihaknya sentiasa menyokong sebarang usaha positif pemegang taruh Liga Malaysia (Liga-M) dalam memajukan bola sepak negara.

"Cadangan Tunku Ismail untuk diadakan forum terbuka antara pemilik atau CEO kelab bersama penyokong demi kemajuan bola sepak negara adalah petanda positif.

"Negeri Sembilan FC juga melihat cadangan Tunku Ismail sesuai dengan status JDT sebuah kelab paling berjaya dan mengukuhkan status sebagai kuasa bola sepak tanah air serta ke arah untuk menjuarai Liga Super bagi tempoh sedekad berturut-turut.

"Malah, sebenarnya saya percaya penyokong tidak hanya akan menyokong pasukan semasa perlawanan tetapi juga mengemukakan idea bagi memajukan kelab masing-masing menerusi forum terbuka sebegini,” katanya.