MASIH belum terlambat untuk penulis mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Hari ini merupakan hari kelima Syawal dan kita masih meraikannya walaupun terdapat segelintir daripada kita sudah mula pulang ke rumah masing-masing kerana perlu bekerja semula.
Dalam kegembiraan kita menyambut lebaran kali ini, sebenarnya ada keluarga yang berduka kerana kehilangan orang yang tersayang.
Seperti kejadian kemalangan pada minggu lalu iaitu beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Syawal yang begitu merobek hati setiap insan.
Dalam kejadian pertama, dua beranak maut kemalangan ketika pulang ke kampung bagi meraikan Aidilfitri di Jalan Terengganu-Kuantan di Kampung Pulau Kerengga, Marang pada Rabu.
Ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang menaiki Perodua Alza dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampung mereka di Taman Hidayah sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki enam sekeluarga.
Dalam kejadian berasingan pula, pasangan suami isteri maut, manakala anak mereka cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Sungai Ikan di Kuala Nerus.
Kereta dipandu oleh mangsa yang datang arah Kuala Terengganu menghala ke Felda Belara tiba-tiba masuk ke laluan bas sebelum bertembung.
Terkini pada Ahad lalu, pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan tersebut meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
Video kemalangan berkenaan turut tular di media sosial. Ada segelintir pengguna media sosial yang turut bersedih dengan kemalangan itu mengaitkan kejadian dengan microsleep yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Microsleep membunuh
Sebenarnya, kemalangan jalan raya kerap dilaporkan sepanjang musim perayaan disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya pertambahan jumlah kenderaan, kelalaian, memandu secara melulu dan sesetengahnya terlelap seketika sewaktu memandu atau dipanggil dengan istilah - microsleep.
Microsleep sangat berbahaya kerana boleh mengundang maut ketika memandu. Microsleep adalah masalah tidur apabila individu terlibat mengalami keadaan di mana otaknya tidur tetapi anggota lain seperti mata, tangan dan kaki masih aktif.
Keadaan tertidur seketika itu berlaku dalam tempoh singkat dengan jangka masa antara satu hingga lima saat tetapi boleh menyebabkan kemalangan jika individu berkenaan sedang mengendalikan jentera atau kenderaan.
Begitulah bahayanya microsleep ketika sedang memandu. Bukan sahaja nyawa kita mungkin melayang, malah nyawa orang lain juga mungkin menjadi korban.
Sekumpulan mat rempit yang menyorok di kawasan semak dan kebun kelapa sawit daripada ditahan polis akhirnya menyerah diri kerana tak tahan lapar serta rindu juadah hari raya.
Kejadian di Kilometer 7 Jalan Kulai-Kota Tinggi itu bermula apabila sekumpulan mat rempit melarikan diri daripada polis pada jam 3 pagi tetapi menyerah diri pada jam 9 pagi selepas tidak dapat meloloskan diri.
Kejadian tersebut turut mendapat reaksi yang pelbagai daripada pengguna media sosial yang rata-rata menyatakan ‘terhibur’ dengan gelagat mat rempit berkenaan yang ‘berhati kering’ ketika berlumba, namun tidak dapat menahan ‘kejantanan’ masing-masing selepas terlalu lama bersembunyi dan rindu pula dengan juadah raya.
Semua kejadian yang berlaku itu menjadi asam garam dalam kehidupan kita apabila ada insan yang berhati-hati di jalan raya tetapi menemui ajal dalam keadaan yang tidak disangka, manakala ada insan yang sememangnya ‘menempah maut’ di jalan raya namun mereka tidak menerima nasib yang sewajarnya.
Di sebalik kisah sedih dan lucu itu juga terselit bukti yang menunjukkan rakyat di negara ini sentiasa bersama dan bersatu walaupun hanya ditunjukkan melalui media sosial sahaja.
Apabila berlaku kejadian menyayat hati, kita sama-sama berdukacita dan apabila ada kisah mencuit hati, kita juga sama-sama rasa gembira umpama menangis bersama, ketawa pun bersama.
* Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Penyunting Sinar Harian