SUNGAI PETANI - Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandu dihempap pokok dalam kejadian ribut di Jalan Lencongan Timur, dekat Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Bandar Amanjaya, di sini kira-kira jam 8 malam pada Selasa.
Mangsa, Karthigesu Subramanian, 52, disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah, panggilan kecemasan diterima pada jam 8.27 malam ketika kejadian angin kencang dan hujan lebat di kawasan berkenaan.
"Jentera pasukan bomba mengalami kesukaran untuk ke lokasi kerana tiang elektrik tumbang dan merentangi jalan raya.
"Bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya telah menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad untuk tindakan lanjut.
"Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian didapati banyak kenderaan mengalami kerosakan akibat dihempap lebih 10 batang pokok yang tumbang," katanya.
Menurutnya, terdapat mangsa lain yang turut mengalami kecederaan, namun jumlah sebenar kesemua mangsa terlibat masih dalam siasatan.
Difahamkan, operasi menebang dan mengalihkan pokok tumbang dibantu agensi lain termasuk MPSPK, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Bomba Sukarela.
Operasi tamat pada jam 12.28 tengah malam.
Mayat dihantar ke HSAH untuk proses bedah siasat.