KUALA LUMPUR - Aksi merempit di sekitar ibu negara memakan diri selepas empat remaja ditahan pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, aksi penunggang motosikal itu dikesan menerusi operasi Op Selamat 20/2023 bermula jam 1.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur.
Menurutnya, empat lelaki berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun ditahan secara berasingan.
"Operasi yang dijalankan mendapati penunggang terbabit melakukan aksi berbahaya seperti 'superman', bersaing sesama sendiri dan zig zag.
"Tindakan sitaan diambil ke atas empat motosikal iaitu dua ialah Honda EX5 dan dua lagi Yamaha LC," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, tindakan diambil di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987.
Tambahnya, polis menasihatkan ibu bapa agar memantau kegiatan anak-anak terutama pada sebelah malam bagi mengelakkan mereka terjerumus dengan kegiatan tidak sihat.