ALOR SETAR - Tiga lagi individu termasuk seorang wanita ditahan bagi menyelesaikan kes melarikan seorang lelaki di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana, di sini pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, penahanan tiga suspek menjadikan jumlah tangkapan seramai empat orang setakat ini.
Ahmad Shukri berkata, mereka ditahan di tiga lokasi berasingan di Changlun, Jitra dan Alor Setar antara jam 7 hingga 9 malam pada Selasa.
"Dalam serbuan pertama, kami menahan seorang wanita berusia 39 tahun diikuti seorang lelaki berusia 42 tahun dalam serbuan kedua dan seorang lagi lelaki berusia 40 tahun dalam serbuan ketiga.
Beliau menambah, ketiga-tiga suspek baharu itu direman selama enam hari bermula Rabu hingga 1 Mei depan.
"Setakat ini, mangsa telah ditemui dan motif kejadian terbabit masih dalam siasatan,"katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berusia 27 tahun dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta oleh tiga lelaki dan seorang wanita dalam kejadian jam 6.30 petang di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana, di sini, pada Isnin.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun dan memburu beberapa individu lagi bagi menyelesaikan kes melarikan lelaki itu.