KUALA LUMPUR - Tindakan menanam cerucuk besi di lokasi tanah runtuh berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin dekat sini akan dilaksanakan setelah agensi terlibat mengadakan mesyuarat pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, satu perbincangan akan dijalankan bersama pihak teknikal terdiri daripada Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta beberapa agensi lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 3 petang Rabu.
Iklan
Iklan
"Kita percaya salah satu faktor (runtuhan) disebabkan aliran air yang ditemui semalam, kedua berlaku takungan air atau mendapan,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian pada Rabu.
Eng Lai berkata, agensi yang terlibat mendapati masih berlaku runtuhan dan hakisan tanah di lokasi kejadian.
"Kita dapati berlaku runtuhan kecil dan pergerakan tanah pada jam 10 malam tadi, setakat ini, kawasan itu telah ditutup dengan kanvas," katanya.
Pada Selasa, dilaporkan seramai 76 petugas MACA dan Institut Integriti Malaysia (IIM) berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Kejadian itu melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.