'Buka pam, bukan air tetapi angin yang keluar'

Iklan
Suri rumah, Fatimah Yahya menadah air dalam tong air untuk digunakan bagi urusan seharian di rumahnya di Kampung Pulau Pisang.

JITRA - Beberapa keluarga di Kampung Pulau Pisang, mukim Jeram, di sini, resah memikirkan masalah gangguan bekalan air yang didakwa makin kritikal terutamanya ketika musim perayaan Aidilfitri ini.

Suri rumah, Fatimah Yahya, 80, berkata, masalah bekalan air yang dialami telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu namun makin serius sejak beberapa hari lepas.

Iklan
Iklan

Fatimah berkata, bekalan air hanya diterima pada waktu malam bermula lebih kurang jam 12 tengah malam hingga jam 6 pagi hingga menjejaskan sambutan Aidilfitri.

"Bayangkan, saya buka pam seharian namun bukan air tetapi angin yang keluar. Jadi, saya terpaksa berjaga malam untuk menadah air dari paip rumah ke tong tadahan air.

Iklan

"Ketika orang lain nyenyak lena, saya telah bangun untuk menadah air hingga ke pagi, itupun belum tentu penuh disebabkan air keluar sedikit sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Fatimah memberitahu, dia dan anak perempuannya, Fazidah Ramli, 52, terpaksa bergilir-gilir menadah air untuk kegunaan harian mereka terutamanya memasak.

Iklan

Sementara itu, Fazidah menambah, mereka telah memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli pam air untuk menyelesaikan masalah itu.

Bagaimanapun, Fazidah memaklumkan, masalah gangguan bekalan air dialami masih juga tidak selesai meskipun pelbagai cara termasuklah memasang paip telah dilakukan.

Fazidah mengakui, masalah bekalan air dialami menyukarkan urusan seharian, sekali gus menyebabkan sambutan raya kali ini dirasakan agak suram.

Sehubungan itu, katanya, mereka merayu agar masalah bekalan air dialami di kawasan itu dapat diselesaikan segera bagi memudahkan urusan mereka dan beberapa keluarga lain.

Sebelum ini, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dalam satu kenyataan memaklumkan akan melaksanakan pelan kontingensi selama lima hari bermula Khamis hingga Isnin sebagai persediaan awal berdepan kemungkinan berlaku gangguan bekalan air di negeri ini sempena Hari Raya Aidilfitri.

SADA memaklumkan, pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan permintaan air melebihi 30 peratus oleh pengguna sepanjang musim perayaan disebabkan kepulangan anak perantau ke kampung halaman selain faktor cuaca kemarau.