Dhabitah mahu bebas kecederaan

Iklan
Dhabitah. - Foto Agensi

ATLET terjun negara, Nur Dhabitah Sabri mahu memastikan dirinya bebas daripada sebarang kecederaan sebelum kembali dalam 'mood' pertarungan untuk menghadapi beberapa siri kejohanan bertaraf antarabangsa pada tahun ini.

Pemenang pingat gangsa di Kejohanan Dunia Budapest itu, memaklumkan kecederaan lutut kirinya sudah beransur pulih meskipun kembali ditimpa kemalangan iaitu terseliuh di pergelangan tangan kiri semasa menjalani latihan terjunan 10 meter (m) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Kecederaan pada lutut kiri ini memang sudah agak lama iaitu hampir sebulan. Saya tidak pasti kenapa proses pemulihan lambat sedangkan ia hanya keradangan, sehingga baru-baru ini saya terpaksa mengambil suntikan di bahagian itu selepas berbincang dengan doktor.

"Walaupun mengalami kecederaan, saya sebenarnya masih berlatih cuma tidak boleh buat terjunan sebab lutut kiri baru lepas elok dan tidak mahu memaksa diri. Saya ambil langkah demi langkah," katanya.

Iklan

Nur Dhabitah memaklumkan Piala Dunia FINA di Kanada yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 Mei ini merupakan kejohanan terdekatnya dan menjadi medan perhitungan pertama pada musim ini.

Bagaimanapun, atlet berusia 24 tahun itu yang membuat penampilan kali terakhir di Grand Prix Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) pada November lepas, enggan meletakkan sebarang sasaran supaya tidak membebankan dirinya.

Iklan

"Dengan keadaan sekarang susah nak sasarkan apa-apa cuma saya punya sasaran nak dapatkan balik 'mood' pertandingan sebab sekarang saya lebih risaukan kecederaan dan nak pulih cepat.

"Saya juga tidak memikirkan pesaing dari negara lain sebab saya rasa kalau asyik fikir tentang mereka (pesaing) jadi tidak sihat. Saya cuma mahu buat yang terbaik untuk diri sendiri," ujarnya.

Ditanya mengenai perasaannya selepas tersenarai dalam projek 'Road To Gold' (RTG) bersama ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong, beliau mengakui teruja walaupun merasakan tekanan yang bakal diharungi sangat besar.

Justeru, Nur Dhabitah bersedia menyahut cabaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar sentiasa komited terhadap bidang sukan yang diceburinya dan terus berusaha untuk sekali lagi merebut slot beraksi di temasya Sukan Olimpik di Paris 2024.

Projek RTG diperkenalkan KBS bulan lepas dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik meliputi edisi Paris 2024 dan Los Angeles 2028. - Bernama