Pengecualian cukai: Yayasan Albukhary tidak perlu merayu

Iklan
Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Yayasan Albukhary tidak perlu membuat rayuan berhubung pengecualian cukai sekiranya ia tidak dibatalkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang merupakan agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Dalam pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah difailkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadapnya, Muhyiddin memaklumkan telah ternampak sepucuk surat daripada Kementerian Kewangan kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sekitar 2021.

Iklan
Iklan

Menurutnya, surat itu memaklumkan bahawa kementerian berkenaan telah membenarkan rayuan yayasan tersebut terhadap keputusan LHDN yang tidak mengiktiraf pengecualian cukai dan keputusan mengenakan penalti terhadap yayasan itu.

Muhyiddin juga mendakwa ternampak surat tersebut semasa disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Iklan

"Oleh itu, saya dibenarkan membuat inferens (anggapan) dan kesimpulan bahawa pengecualian cukai telah dibatalkan, jika tidak rayuan tidak perlu dibuat atau kelulusan diberikan oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2021,” dakwanya.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, plaintif (Guan Eng) telah dilantik sebagai Menteri Kewangan dari 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020. Sebagai Menteri Kewangan, LHDN adalah di bawah bidang kuasa beliau (Guan Eng) dan pengecualian cukai tidak diiktiraf oleh LHDN semasa plaintif memegang jawatan tersebut,” dakwanya.

Iklan

Menurut Muhyiddin, semasa menjadi Perdana Menteri, beliau (Muhyiddin) telah menerima surat daripada Syed Mokhtar kepada Pejabat Perdana Menteri.

"Surat tersebut merayu terhadap keputusan LHDN yang tidak mengiktiraf pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary yang diberikan kerajaan terdahulu yang diterajui BN serta keputusan untuk mengenakan penalti terhadap yayasan tersebut.

"Saya yang bukan Menteri Kewangan dan menteri yang bertanggungjawab terhadap LHDN, telah merujuk perkara itu dengan Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk pertimbangan dan beliau telah membenarkan rayuan tersebut,” dakwanya.

Pada 27 Mac lepas, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa telah mengeluarkan tiga kenyataan memfitnah membabitkan plaintif dengan isu pembatalan pengecualian cukai ke atas yayasan itu pada 9, 11 dan 12 Mac lepas di laman Facebook milik defendan.

Laporan berhubung perkara itu kemudiannya diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita pada hari sama.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa kenyataan fitnah tersebut juga bermaksud beliau telah menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, apabila ia tidak patut dikenakan cukai. - Bernama