KUALA LUMPUR - Ancaman laman web yang menyasarkan perniagaan di Malaysia meningkat sebanyak 197 peratus tahun lepas, menurut keselamatan siber global dan penyedia antivirus, Kaspersky.
Kaspersky dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Rabu berkata, semasa pandemik berada di kemuncak pada tahun 2020, ia menghalang 10,200,817 serangan laman web daripada menjangkiti perniagaan di Asia Tenggara.
"Serangan laman web melonjak pada 2022 dengan merekodkan 13,381,164, jumlah itu menurun sedikit pada 2021 kepada 9,180,344,” katanya.
Kaspersky berkata, Singapura mencatatkan lonjakan tertinggi tahun ke tahun dari segi ancaman web yang menyasarkan perniagaan tahun lepas.
"Negara-negara di Asia Tenggara mencatatkan peningkatan lebih tiga kali ganda (329 peratus) selepas penyelesaian perniagaan Kaspersky menyekat sejumlah 889,093 serangan siber, kenaikan yang mengejutkan daripada jumlah keseluruhan 207,175 pada 2021.
Hanya Vietnam yang menyaksikan penurunan sedikit (-12 peratus) selepas merekodkan hanya 2,485,168 insiden ancaman web tahun lepas berbanding 2,822,591 pada 2021, kata Kaspersky.
Ancaman berasaskan laman web atau ancaman dalam talian, merujuk kepada percubaan untuk memuat turun objek/perisian berniat jahat daripada tapak laman web berniat jahat atau dijangkiti dengan perisian hasad.
Kaspersky berkata, ancaman laman web disebabkan kesilapan pengguna, pembangun dan pengendali perkhidmatan web atau perkhidmatan laman web itu sendiri.
"Tidak kira niat atau punca, akibat ancaman laman web boleh merosakkan individu dan organisasi," katanya. - Bernama