SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) tidak wajar melabelkan Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan Persekutuan sebagai satu tindakan yang melangkaui sempadan hormat dan adab.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia berikutan ketiga-tiga Menteri Besar kerajaan negeri PN termasuk Kedah telah bersetuju dan menyambut baik penganjuran majlis di negeri masing-masing.
"Malah, tindakan membuka gelanggang untuk membalas usaha murni meraikan Aidilfitri inilah yang melangkaui sempadan hormat dan adab.
"Ia hanya mempamerkan ketakutan PN kepada perkara yang tidak wujud sehingga imaginasi politik mereka menjadikan semua tindakan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia Madani adalah kesalahan di mata umum,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Rabu, PN mempertikaikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri yang disifatkan keterlaluan.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan kerajaan itu dilihat terlalu terburu-buru selain tidak wajar dipertahankan.
Sementara itu, ujar Muhammad Kamil, belum ada sebarang bukti daripada PN bahawa penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri itu adalah perbuatan pembaziran melainkan persepsi semata-mata.
"Membangkitkan perihal hutang negara dan kontradiksi berkenaan penjimatan adalah hal yang tidak munasabah.
"PN memberi hukuman bahawa pimpinan kerajaan Malaysia Madani tidak berhak untuk menganjurkan apa-apa program untuk rakyat hanya kerana prinsip penjimatan yang diperkenal Perdana Menteri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil menerusi ciapan di Twitternya pada Rabu itu turut mengulas berhubung isu pembatalan siaran Takbir Raya PN yang berlaku baru-baru ini.
Menurutnya, PN perlu kurangkan ‘meroyan’ berhubung isu tersebut sebaliknya, memberi tumpuan ke atas usaha berkhidmat kepada rakyat.
"Boleh ambil tindakan undang-undang. Jangan buat spekulasi.
"Jujur juga jelaskan berapa ratus ribu kamu (PN) bayar untuk slot takbir raya. Alangkah lebih baik guna duit tu untuk jamu orang makan,” ulasnya.