KHARTOUM - Pelaksanaan gencatan senjata di Sudan memasuki hari kedua pada Rabu, namun pertempuran dilaporkan masih belum reda.
"Tempoh bertenang gagal dipatuhi sepenuhnya. Saksi mendakwa masih berlaku serangan bertalu-talu dan kejadian pengeboman di beberapa kawasan sekitar ibu kota," kata Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Perthes.
Perthes memaklumkan beliau terus berhubung dengan ketua tentera kerajaan, Abdel Fattah al-Burhan dan seterunya, Mohamed Hamdan Daglo yang memimpin anggota separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
"Belum ada isyarat jelas bahawa kedua-duanya bersedia untuk berunding secara serius," ujarnya lagi.
Ketika ini, kebimbangan semakin meningkat selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran tentang 'risiko biologi' setelah makmal di Khartoum yang menyimpan sampel beberapa penyakit berjangkit termasuk kolera dan polio telah ditawan.
Konflik yang semakin meningkat menyebabkan negara asing berlumba-lumba membawa keluar warga mereka dari Sudan.
Usaha pemindahan rakyat asing melalui jalan darat, laut dan udara telah dipergiatkan sejak awal minggu lalu berikutan situasi keselamatan yang kian meruncing.
"Detik paling sukar adalah apabila hujan peluru terus melanda kawasan penempatan penduduk. Ia telah menakutkan anak-anak kami," kata Safa Abu Taher yang selamat tiba di lapangan terbang tentera di Jordan bersama keluarganya pada malam Selasa.
Sementara itu, PBB menzahirkan kebimbangan sehingga 270,000 'tsunami' pelarian ke negara jiran lebih miskin di Chad dan Sudan Selatan.
Pertempuran sengit yang berlarutan selama lebih seminggu itu telah meragut sekurang-kurangnya 459 nyawa manakala lebih 4,000 cedera. - AFP