SHAH ALAM - Jabatan Kerja Raya meminta pihak pemilik bangunan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menyerahkan lukisan terbina (As-built Drawing) struktur tembok penahan sedia ada.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lukisan itu diperlukan bagi membuat semakan lanjut terhadap struktur tembok penahan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan, kerja-kerja pembersihan tapak akan bermula petang ini melalui kontraktor yang dilantik.
"Selain itu, kerja-kerja pemasangan 'tarpaulin sheet' di kawasan cerun runtuh bagi mengelakkan resapan air hujan terus ke tanah.
"Kerja-kerja pemasangan 'tilt sensor' bagi memantau pergerakan tanah di kawasan tersebut pula dijangka akan dipasang bermula esok," katanya menerusi ciapan Twitter Kementerian Kerja Raya.
Sebelum itu, menerusi kenyataan di Facebook, Alexander berkata, runtuhan cerun di MACA berpunca akibat paip pecah.
Ujarnya, punca kejadian itu diketahui hasil siasatan awal Bahagian Forensik Tanah Runtuh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Kebocoran paip mengakibatkan tanah mengalami ketepuan tinggi, seterusnya meningkatkan tolakan mendatar (lateral force) kepada tembok penahan," ujarnya.