IPOH - Sebanyak 14,514 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) manakala 500 motosikal disita dari 18 hingga 25 April menerusi Advokasi dan Op Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023.
Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, notis dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 51,039 motosikal manakala sitaan kerana kesalahan tiada perlindungan insurans, lesen memandu dan lain-lain, membabitkan 291 lokasi Point of Duty (POD) di seluruh negara.
Katanya, enam kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu membabitkan 4,583 notis, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (2,600 notis), tiada insurans (2,364 notis), lesen memandu tamat tempoh (168 notis), tidak memakai topi keledar (160 notis) dan tidak mematuhi lampu isyarat (120 notis).
"Menurut kajian, penggunaan topi keledar yang betul akan dapat mengurangkan kecederaan sebanyak 25 peratus kepada pengguna motosikal. Oleh itu, langkah-langkah advokasi dan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan JPJ dari semasa ke semasa bagi menurunkan kadar kemalangan dan kemalangan maut membabitkan pengguna motosikal,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.
Terdahulu, beliau hadir pada Op Khas Motosikal bagi negeri Perak sempena Op Bersepadu HRA 2023, pada Rabu.
Lokman berkata, bagi Op Khas Motosikal negeri Perak dari 18 hingga 25 April, sebanyak 7,146 motosikal diperiksa dan daripada jumlah tersebut 1,313 motosikal telah diambil tindakan di bawah Akta 333.
Sementara itu, Lokman berkata, dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kemalangan maut pada musim perayaan ini, tindakan advokasi serta penguatkuasaan secara bersasar difokuskan kepada penunggang atau pembonceng motosikal di seluruh negara.
Katanya, ia adalah berdasarkan rekod kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh 2010 hingga 2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain iaitu melebihi 60 peratus.
Justeru, Lokman berkata, melalui Op Bersepadu HRA Peringkat Kebangsaan 2023, JPJ melaksanakan strategi penguatkuasaan dan advokasi khas kepada pengguna motosikal bagi membudayakan pematuhan undang-undang jalan raya serta penerapan rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan khususnya punca kemalangan maut serta membahayakan pengguna lain.
"Dipohon kerjasama pengguna jalan raya khususya penunggang dan pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya,” katanya.
Untuk sebarang aduan, orang awam boleh menyalurkan pelaporan secara terus atau real time melalui aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my berserta butiran lengkap aduan. - Bernama