Sasaran pingat Sukan SEA 2023 realistik

Iklan
Mohd Nasir

BURUAN pingat emas kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Kemboja Mei ini yang bakal diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hujung minggu ini adalah sasaran yang realistik.

Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Mohd Nasir Ali berkata, sasaran tersebut melebihi pencapaian pingat yang kem negara peroleh pada Sukan SEA edisi lalu di Hanoi.

Iklan
Iklan

Pada edisi 2021 yang diadakan tahun lalu, Malaysia meraih 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Beliau berkata, jumlah sasaran tersebut akan dimuktamadkan sempena perhimpunan atlet di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur hujung bulan ini.

Iklan

"Lebih (sasaran emas) dari Hanoi. Apa pun belum dipastikan. Nanti semasa perhimpunan dan perkampungan bersama atlet bermula 28 hingga 30 April ini akan dimuktamadkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Meskipun sasaran pingat hanya akan diumumkan pada Ahad ini, Mohd Nasir optimis dengan kemampuan 680 atlet negara yang akan dibarisi 57 peratus atlet muda.

Iklan

Beliau menjelaskan walaupun secara purata Malaysia ‘kehilangan’ 18 pingat emas susulan sukan yang menjadi lubuk emas digugurkan, namun harapan disandarkan kepada olahraga dan renang untuk melakar kejutan.

"Beberapa sukan yang menyumbangkan emas di Hanoi pada edisi lalu seperti menembak, memanah, bina badan dan gimrama tidak dipertandingkan.

"Sukan seperti terjun, gimnastik dan angkat berat pula dikurangkan acaranya,” katanya.

Selain olahraga dan renang yang mempunyai kontinjen terbesar, beberapa acara individu lain seperti badminton dan karate turut dijadikan sandaran.

Pada edisi terakhir di Hanoi, Mei tahun lalu, Malaysia melepasi sasaran 36 pingat emas dengan mengakhiri saingan di kedudukan keenam apabila mengutip 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa - pencapaian terburuk kontinjen negara sejak 1983.

Sukan terjun menjadi penyumbang terbanyak emas kem negara apabila memenangi lapan emas diikuti olahraga lima emas, manakala karate dan gimnastik masing-masing membawa pulang empat emas.

Bagi edisi ke-30 di Filipina pada 2019 pula, Malaysia meraih 55 emas,58 perak dan 71 gangsa untuk menghuni tangga kelima keseluruhan.