SHAH ALAM - Kumpulan Karangkraf sentiasa peka dan prihatin dalam mendidik masyarakat di negara ini terutama golongan pelajar-pelajar.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, salah satu inisiatif tersebut adalah menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam penganjuran karnival pendidikan terbesar di negeri Selangor.
"Penganjuran Karnival Pendidikan Sinar Bestari adalah untuk memupuk kesedaran khalayak terhadap dunia pendidikan yang semakin menuju ke arah pendigitalan.
"Ia bertepatan dengan generasi hari ini apatah lagi sebagai langkah persediaan negara ke arah Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0),” katanya.
Julung kali diadakan, Karnival Pendidikan Sinar Bestari akan berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Mei depan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.
Dalam pada itu, Farah menjelaskan, karnival berkenaan boleh dijadikan sebagai hab pembelajaran di luar bilik darjah berikutan terdapat pelbagai pameran bertemakan digital, skil dan kerjaya yang menjadi evolusi pendidikan masa depan.
Tambah beliau, pembelajaran luar bilik darjah itu dapat memberi perspektif baharu kepada pelajar-pelajar khususnya dalam penguasaan pendidikan digital abad ke-21.
"Antara aktiviti-aktiviti menarik lain termasuk jualan buku Karangkraf pada harga runtuh, bengkel penulis cilik, uji bakat TV PSS, persembahan dikir barat mega, mini zoo, klinik bola keranjang dan jualan mega,” katanya.
Farah memberitahu, karnival turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan termasuk pidato, tarian Malaysia, pancaragam, dikir Barat, e-sukan, koir, Sinar Bestari Got Talent, kawad kaki dan banyak lagi.
"Karnival dilaksanakan secara besar-besaran ini juga sebagai langkah memperluaskan jenama sisipan pendidikan Sinar Harian, Sinar Bestari yang diterbitkan setiap hari Isnin.
"Sisipan pendidikan Sinar Bestari menjadi platform kepada warga pendidik terutama sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi (IPT) memperoleh pelbagai maklumat berkaitan pendidikan, kemahiran serta kerjaya terkini,” ujarnya.
Beliau berharap warga pendidik, pelajar-pelajar dan orang ramai terutama di Selangor tidak melepaskan peluang memeriahkan Karnival Pendidikan Sinar Bestari.