Pesakit diabetes paling banyak dapatkan rawatan

Iklan
Kuih hari raya yang biasanya manis menjadi 'ancaman' kepada pesakit diabetes. Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Dr Amrit Kaur)

SHAH ALAM - Keseronokan menikmati juadah hari raya seolah-olah terhenti bagi golongan yang menghidap penyakit kencing manis kerana khuatir jika tersalah makan akan mengakibatkan komplikasi terhadap kesihatan.

Menurut Pegawai Perubatan Mediklinik Sejahtera, Ipoh, Perak, Dr Amrit Kaur Ragbir Singh, setiap kali menjelang musim perayaan, pesakit diabetes merupakan antara golongan yang paling banyak mendapatkan rawatan.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan mereka datang ke klinik disebabkan tidak mengawal keseimbangan corak pemakanan. Mereka menganggap musim perayaan adalah masa untuk mengabaikan diet seimbang dan memilih makan makanan manis, berlemak, bergaram serta mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi.

Tambah Dr Amrit Kaur, sekiranya golongan tersebut tidak mengawal pemakanan, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Iklan

Jelas beliau, jika paras glukosa dalam darah naik dengan mendadak, pesakit boleh menghidap Diabetik Koma iaitu sejenis komplikasi diabetes yang mengancam nyawa dan boleh menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri.

"Situasi kedua pula, apabila paras gula dalam darah kekal tinggi untuk jangka masa lama, ia boleh mengakibatkan kerosakan saraf dan kegagalan buah pinggang.

Iklan

"Seterusnya, penyakit arteri periferal pada bahagian kaki akan menyebabkan luka tidak dapat sembuh dan Retinopati Diabetik akan mengakibatkan penglihatan menjadi kabur atau buta,” katanya.

Bukan itu sahaja, katanya, mereka juga boleh mengalami serangan jantung dan angin ahmar.

Dalam pada itu, Dr Amrit Kaur turut menasihati pesakit diabetes agar mengambil hidangan dalam kuantiti kecil secara berkala berbanding kuantiti besar dalam satu masa.

"Pilih makanan rendah kalori seperti sayur-sayuran, makanan kurang minyak, lemak dan santan.

"Saya juga syorkan mereka untuk makan makanan tinggi serat dan mengehadkan pengambilan juadah manis seperti dodol, wajik, kek, biskut serta kuih-muih.

"Pastikan minum air kosong dengan banyak dan kurangkan minuman berkarbonat serta tinggi gula,” ujarnya.