SHAH ALAM -"Saya terpaksa melalui pembedahan buang ovari untuk memastikan sel kanser tidak aktif lagi,” kata seorang pesakit kanser payudara tahap empat, Nur Hayati Sahak.
Menurut wanita berusia 43 tahun itu, kehidupannya berubah apabila disahkan menghidap penyakit kanser pada tahun 2019.
Nur Hayati berkata, pada 2016, cecair jernih pernah keluar daripada payudara, namun hasil pemeriksaan menunjukkan tiada tanda-tanda sel kanser.
"Pada 2019, kegembiraan yang saya sangka berpanjangan tiba-tiba memberi satu tamparan hebat dalam hidup apabila kulit pada payudara sebelah kanan bertukar kemerah-merahan dan ada tompok putih.
"Tanpa berlengah, saya segera ke hospital swasta di Selangor. Hasil pemeriksaan mendapati saya telah menghidap kanser payudara tahap empat dan perlu menjalani pembedahan membuang keseluruhan organ tersebut serta nodus limfa,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, barah tersebut telah merebak ke paru-paru, tulang dan leher.
Jelas wanita itu lagi, suami dan anak adalah sumber kekuatannya agar terus kuat untuk melawan kanser tersebut.
"Walaupun kebenarannya pahit untuk ditelan tetapi saya tidak berputus asa dan segala saranan doktor mengenai rawatan, saya turutkan.
Dalam pada itu, Nur Hayati berkata, dia turut menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 21 kali bagi merawat sel kanser pada tulang.
Tambahnya, hasil pemeriksaan terbaharu mendapati sel kanser pada tubuh tidak lagi aktif.
"Saya gembira mendengar perkhabaran tersebut. Bagi saya, ia seumpama hadiah terindah untuk menyambut hari raya bersama keluarga pada tahun ini.
"Bagaimanapun, doktor memaklumkan bagi memastikan sel kanser itu tidak kembali aktif, saya perlu menjalani rawatan hormon yang memerlukan kedua-dua ovari dibuang,” katanya.
Ujar Nur Hayati, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan kehidupan walaupun tidak lagi berpeluang menimang cahaya mata.
Dalam pada itu, Nur Hayati turut berkongsi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini yang diraikan sederhana.
Ujarnya, dia tidak boleh berbelanja lebih dalam membuat persiapan hari raya kerana perlu memikirkan kos rawatan bulanan bagi merawat kanser.
"Sebagai seorang isteri yang tidak lagi bekerja, saya perlu merancang kewangan dengan baik kerana kos rawatan kanser setiap bulan mencecah RM1,000,” jelasnya.