Jutaan 'pemudik' kembali ke ibu kota

Iklan
Aliran trafik di Bogor sesak dengan 'pemudik' yang mula kembali ke ibu kota pada Selasa.

JAKARTA - Jutaan ‘pemudik’ di Indonesia pulang ke kota dari kampung halaman masing-masing selepas cuti perayaan selama seminggu sempena Aidilfitri berakhir pada Selasa.

Terdapat juga segelintir penduduk yang mengambil peluang untuk menghabiskan cuti panjang di destinasi pelancongan utama di sekitar Jakarta.

Iklan
Iklan

Menurut pengendali laluan bertol, PT Jasa Marga, kira-kira 222,000 kenderaan kembali ke ibu kota yang turut menyaksikan beberapa jalan utama sesak sejak Isnin lalu.

Kebanyakan 'pemudik' menunggang motosikal untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Hampir 60 peratus atau kira-kira 130,000 kenderaan melalui tol Kalihurip dan Cikampek yang merupakan laluan utama untuk pengguna menuju ke Jakarta dari kawasan timur ibu kota tersebut.

Iklan

Jurucakap polis yang terlibat Operasi Ketupat 2023, Ahmad Mustofa Kamal berkata, mereka mengumpulkan data aliran trafik dari empat laluan bertol iaitu Cikampek Utama, Kalihurip Utama, Cikupa dan Ciawi sejak Ahad lalu.

Menurutnya, jumlah kenderaan yang meninggalkan Jakarta melalui empat laluan tol itu masih tinggi berbanding trafik masuk.

Iklan

Sementara itu, angka kemalangan ketika musim perayaan mencatatkan penurunan sebanyak 39 peratus.

Kenderaan bertali arus di Nagrek, Bandung sejak Isnin lalu.

"Kita melihat trend yang positif berbanding data pada tahun lalu. Pada 2022, sebanyak 3,573 kes direkodkan, namun angka tersebut menurun kepada 2,117 kes tahun ini,” kata Menteri Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy.

Pada awal minggu lalu, Presiden Joko Widodo atau Jokowi menyarankan pemudik terutamanya mereka yang terlibat dalam sektor tidak penting supaya melanjutkan tempoh cuti sehingga Rabu sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak aliran pulang ke ibu kota.

"Data diberikan Kementerian Pengangkutan menunjukkan kira-kira 203,000 kenderaan dijangka kembali ke Jakarta dari arah timur di sepanjang tol Trans Jawa dan dari arah Bandung,” ujarnya.

Difahamkan, kebanyakan sektor kerajaan dan swasta akan menyambung semula operasi pada Rabu.

Jumlah kenderaan di laluan bertol utama turut dilaporkan meningkat.

Sebagai insentif, PT Jasa Marga turut mengumumkan diskaun sebanyak 20 peratus untuk bayaran tol di sepanjang laluan Jakarta-Cikampek yang menghubungkan ibu kota ke kawasan kejiranannya di timur bermula Khamis lalu hingga Sabtu.

Secara keseluruhan, kira-kira 1.6 juta kenderaan dijangka kembali ke ibu kota pada musim mudik kali ini yang menunjukkan peningkatan sebanyak 67.5 peratus berbanding jumlah trafik pada hari biasa. - Agensi