PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan melaksanakan pemindahan perubatan (Medevac) ke atas seorang penumpang kapal yang mengalami angin ahmar atau strok pada Rabu.
Pengarah Maritim Melaka/Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru memaklumkan seorang penumpang kapal Spectrum Of The Seas mengalami strok ketika kapal sedang belayar menuju ke Singapura dari Pulau Pinang.
"Bot Petir 91 yang sedang membuat rondaan rutin di kawasan sekitar telah diatur ke lokasi kapal lebih kurang 3.8 batu nautika Barat Daya Port Dickson.
"Sebaik tiba di lokasi, wanita warga Indonesia, Hon Siu Fung, 66, berada dalam keadaan lemah dan perlu dibawa ke hospital dengan kadar yang segera," katanya dalam kenyataan kepada media pada Khamis.
Menurutnya, mangsa dipindahkan ke bot Maritim dan dibawa ke Jeti Jabatan Laut, Port Dickson pada jam 10 malam serta dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, selain tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang di laut, Maritim turut membantu masyarakat atau komuniti maritim membuat penerbangan atau pelayaran ihsan bagi kes-kes kecemasan di laut.
"Sekiranya terdapat sebarang kecemasan di laut, sila laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.