PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Empat lelaki termasuk dua beradik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis pada pagi 1 Syawal.
Mohamad Haikal Abdul Karim, 23; Khalid Khamis, 38; Mohamed Effendi Mohamed Said, 40 dan adiknya Muhammad Fazli Mohamad Said, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.
Mengikut kertas pertuduhan, Khalid, Mohamed Effendi dan Muhammad Fazli didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat menghalang Lans Koperal Muhammad Hasrull Mohd Namiri daripada melaksanakan tugasnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer (km) 7, Jalan Kulai menghala Kota Tinggi dekat Kulai kira-kira jam 3 pagi pada Sabtu lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi Mohamad Haikal pula didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Hasrull dengan menggunakan kaki dan tangan di lokasi yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut, Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksima setahun atau dengan denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurezzati Zaini manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili.
Majistret Nur Azzuin Abdul Moati membenarkan Mohamad Haikal diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin manakala Khalid, Mohamed Efendi dan Muhammad Fazli, masing-masing dibenar dijamin RM2,000 seorang dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 30 April ini untuk hukuman di Mahkamah Majistret Kulai.
Pada Rabu, media melaporkan seorang anggota polis dipukul oleh sekumpulan Mat Rempit ketika menjalankan tugasan Op Selamat ke 20 di Kilometer 7 Jalan Kulai - Kota Tinggi.
Ketua Polis daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, laporan polis dibuat mangsa pada jam 3.04 petang pada hari kejadian.