KOTA BHARU- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan Tabung Kemanusiaan 1 Juta RM1 (1JTM) di sini, hari ini bermula di Kelantan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia sebagai inisiatif untuk masyarakat menyertai usaha menyumbang kepada tabung yang menyalurkan bantuan kemanusiaan terhadap mangsa pelbagai konflik di dunia dan umat Islam khasnya.
Menurutnya, ia akan digerakkan dengan pendekatan menempatkan sekurang-kurangnya 13,000 tabung untuk mengumpulkan RM1 juta di seluruh negeri sepanjang Ramadan ini.
"Kita berharap setiap rumah akan ada satu tabung dan paling sedikit pun setiap individu boleh menderma RM1 seorang. Sudah sampai masanya Ramadan kali ini menjadi kesempatan untuk umat Islam meningkatkan infaq mereka.
"Kami menyeru supaya umat Islam menghindari budaya membazir dalam bulan mulia ini. Pembaziran berbelanja untuk Aidilfitri yang berlebihan serta pembaziran ratusan ribu metrik tan makanan di bulan Ramadan dihentikan.
"Mereka harus insaf setiap sen, setiap butir nasi yang dibazirkan bermaksud telah menafikan hak golongan tertindas daripada mendapat bantuan dan pembelaan,” katanya pada sidang akhbar di Dusun Muda, hari ini.
Pelancaran tabung berkenaan turut dihadiri Pengarah International Relief and Humanitarian Outreach (iReach), Johan Arif Ismail.
Mohd Azmi berkata, wang berlebihan itu perlu diutamakan untuk disumbangkan kepada kumpulan yang tertindas seperti pelarian Syiria, Rohingya, Uyghuir, Yaman, Palestin, Afganistan dan Iraq.
Tambahnya, tabung berkenaan diwujudkan untuk membantu beberapa projek kemanusian yang sedang dilaksanakan di negara berdepan dengan warga tertindas, bencana alam dan juga golongan memerlukan negara ini.
Katanya, antara projek kemanusiaan yang akan terus dilaksanakan ialah, bantuan di kem pelarian Rohingya (Myanmar dan Bagladesh), mangsa perang di Yaman, bantuan di Gaza, mangsa gempa bumi (Palu dan Lombok), misi kemanusiaan di Syiria, keluarga daif di Masjid Al Aqsa dan sumbangan kebajikan dan kemiskinan di Malaysia.
Antara projek kemanusia yang dilaksanakan katanya, termasuk bekalan pek makanan, perubatan, pam air bersih, bantuan iftar dan sahur, pusat pendidikan sementara, mendirikan surau di kem pelarian dan membangunkan klinik.
"Kami menyeru gerakan 1JTM ini disambut oleh masyarakat dan akan dapat dijayakan sebagai saluran tabungan untuk kemanusiaan yang paling berjaya dan mendapat dokongan dalam kalangan pentadbiran negeri serta pusat,” katanya.
Katanya, bagi yang ingin sama-sama membantu boleh menghubungi urusetia tabung di talian 013-9553190 dan 017 9987782 atau menyalurkan sumbangan menerusi Mapim (Bank Rakyat) menerusi akaun 110031001285.