Tak serik pukul isteri, lelaki dihadap ke mahkamah lagi

Iklan
Tertuduh (dua dari kanan) diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Kuala Pilah.

KUALA PILAH - Seorang lelaki yang tidak serik-serik memukul isterinya sekali lagi dihadapkan ke mahkamah pada Khamis atas kesalahan sama.

Tertuduh, S Ragubalan, 46, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya dengan cara menumbuk pada bahagian muka dan menghantuk kepalanya ke lantai sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka dan dahi, bengkak pada bahagian belakang kepala dan sakit pada bahagian tengkuk.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Gemas, Tampin pada 24 April lalu jam 9.15 pagi.

Iklan

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng memberitahu mahkamah, tertuduh pernah dituduh di Mahkamah Majistret Tampin atas kesalahan di bawah seksyen yang sama pada 3 November 2022 dan mengaku bersalah.

Iklan

"Tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 tetapi tidak serik melakukan kesalahan sama.

"Kesalahan di bawah seksyen itu juga tidak menawarkan sebarang jaminan," katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan kerana mempunyai penyakit kencing manis dan baru bekerja hampir dua bulan.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 8 Mei ini bagi sebutan semula kes.