Pekerja kontrak tak mengaku salah culik remaja perempuan

Iklan
Tertuduh (dua dari kiri) diiringi anggota polis ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah.

KUALA PILAH - Seorang pekerja kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan menculik seorang remaja perempuan pada awal pagi raya Aidilfitri, Sabtu lepas.

Tertuduh, Mohamad Khairul Firdaus, 26, berasal dari Pekan, Pahang, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, pada 22 April lalu, kira-kira jam 5.30 pagi, di hadapan sebuah rumah di gugusan Felda Raja Alias, Bandar Seri Jempol di Jempol, tertuduh telah menculik remaja perempuan berusia 14 tahun daripada penjaga yang sah.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan akta sama yang mana boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Iklan

Selain itu, tertuduh diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Mei ini di Mahkamah Majistret Bahau.