Rumah bekas imam musnah dalam kebakaran

Iklan
Rumah bekas imam musnah dalam kejadian kebakaran pada Rabu.

REMBAU - Dugaan hari kelima Aidilfitri buat sebuah keluarga di Kampung Tanjung dekat sini apabila rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 7.28 malam itu menyebabkan bekas imam, Abd Rahaman Che Teh, 73, serta 13 ahli keluarganya termasuk anak, menantu serta cucu tinggal sehelai sepinggang.

Iklan
Iklan

Menurut anak Abd Rahaman iaitu Abd Rahim, 48, ketika kejadian, ahli keluarganya sedang menemani bapanya berbuka puasa.

"Saya pula dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja dan sebaik sampai saya tengok api sedang marak.

Iklan

Menurutnya, kebakaran rumah pusaka peninggalan arwah ibunya itu disedari apabila ahli keluarganya terhidu bau asap sebelum melihat api marak di bahagian stor belakang rumah.

Tambahnya, dia reda dengan kejadian berlaku dan apa yang paling penting kesemua ahli keluarganya selamat.

Iklan

"Sebenarnya kami semua bercadang untuk bergerak ke Terengganu malam tadi untuk beraya di kampung ayah.

Abd Rahim menunjukkan keadaan rumah pusaka peninggalan arwah ibunya yang musnah terbakar

"Tapi dah jadi macam ini, rancangan itu terpaksa dibatalkan. Buat masa ini kami sekeluarga menumpang di rumah keluarga bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tawarkan kami untuk tinggal di situ buat sementara," katanya.

Sementara itu, pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Penolong Bomba Kanan 1, Moktar Mohamad berkata, pihaknya mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran.

" Kebakaran dipercayai berpunca dari bilik stor dan dianggarkan kediaman ini musnah terbakar sebanyak 90 peratus.

"Seramai 20 pegawai serta anggota dari tiga balai bomba termasuk dari Rembau dan Tampin dikejarkan ke lokasi kejadian. Namun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu difahamkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin akan menyampaikan sumbangan bagi pihak Perdana Menteri kepada mangsa.