SHAH ALAM - Sebanyak 12 keluarga peneroka Kampung Koskan Tambahan, Serendah mendakwa bakal kehilangan tempat tinggal selepas menerima notis pengusiran, 18 April lalu.
Mereka mendakwa menerima notis berkenaan daripada sebuah syarikat pemaju perumahan dan diminta untuk mengosongkan kediaman mereka sebelum jam 9 pagi pada 2 Mei ini.
Sehubungan itu, mereka menghantar satu memorandum kepada kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi memohon campur tangan kerajaan negeri.
Memorandum diserahkan kepada Penolong Setiausaha Bahagian Korporat, Norbaini Zainuddin di pintu masuk utama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Khamis.
Wakil penduduk, Maszahar Hashim, 59, mendakwa, penduduk terdiri daripada 12 keluarga membabitkan lebih 70 ahli keluarga itu diberi tempoh sehingga 2 Mei untuk mengosongkan kediaman mereka.
"Penduduk menganggap diri mereka diperlakukan seolah-olah seperti penghuni setinggan meskipun telah tinggal di kawasan itu sejak lebih empat dekad lalu," katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi penduduk, Saleha Jumbri, 55, berkata, mereka tidak mampu untuk berpindah ke tempat lain sekiranya tiada penyelesaian dicapai di antara penduduk dan pihak pemaju terbabit.
"Kami difahamkan pihak pemaju ingin membina rumah di kawasan ini dan rumah kami mahu dirobohkan, ke mana lagi kami hendak pindah, inilah satu-satunya penempatan yang ada," katanya.
Sehubungan itu, katanya, mereka memohon campur tangan kerajaan negeri untuk membantu penduduk menyelesaikan isu tersebut.
Seorang penduduk, Bharuddin Noot, 68, pula berharap kerajaan negeri dapat menyemak semula pemberian milik tanah itu dengan mengambil kira kebajikan keluarga yang tinggal di kawasan itu.
"Kami sudah duduk (tinggal) lebih 40 tahun dan kami harap dapat terus tinggal di situ, kalau tak boleh gantikan rumah lain...Kami tak mampu sewa rumah di tempat lain," kata warga emas terbabit.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosial Malaysia, Arutchelvan, 56, yang turut hadir ketika penyerahan memorandum itu berkata, pengusiran paksa itu perlu dihentikan sehingga penyelesaian dapat dicapai antara penduduk dan pihak pemaju.
"Menteri Besar perlu membantu dalam menyelesaikan perkara ini dan menjelaskan beberapa isu berkaitan antaranya bagaimana dengan pengisytirafan kerajaan sebelum ini kepada Kampung Koskan Tambahan yang mendapat bekalan air, elektrik dan jalan berturap yang disediakan?
"Kedua, bagaimana tanah kampung diberikan kepada pemaju sedangkan permohonan lebih awal dibuat oleh penduduk kampung ditolak dengan alasan kawasan itu kawasan tanah simpan Sungai Serendah dan berisiko banjir," soalnya lagi.
Justeru, beliau meminta agar menghentikan sebarang pencerobohan dalam kawasan tanah Kampung Koskan Tambahan dan mempercepatkan proses pemilikan kepada peneroka terbabit.