MELAKA - Timbalan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin menyifatkan video rasuah seks tular yang dikaitkan dengan diri beliau sebagai satu yang direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan karier politiknya.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana berkata, ia bukan pertama kali tular pada Syawal ini, namun telah ditularkan ketika tempoh pemilihan UMNO pada Mac lalu.
Menurutnya, ketika itu dia tidak memikirkan mengenai video fitnah tersebut kerana mahu memberi fokus kepada pemilihan, sebelum akhirnya beliau menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi UMNO negeri.
Tegasnya, beliau tidak pernah memberikan rasuah seks kepada mana-mana individu dan mengakui 'seram' melihat perbualan WhatsApp seperti yang disebarkan.
"Mana-mana yang mengenali saya, kawan, teman rapat, saya yakin mereka tahu siapa diri saya.
"Saya harap kita hentikan polemik politik fitnah yang tidak baik ini supaya kita boleh fokus, siapa yang menang bantulah rakyat, buatlah kerja, yang kalah tidak kalah selamanya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Pasar Besar Bachang di sini, pada Khamis.
Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap individu yang menyebabkan fitnah tersebut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput setakat ini belum membuat sebarang laporan polis.
Namun ujarnya, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes itu.
"Saya sedang meneliti dan melihat bagaimana untuk saya mempertahankan diri, maruah saya dan keluarga dalam masa sama menginsafi diri supaya lebih berhati-hati," ujarnya.
Jelasnya, sebagai Exco kanan yang memegang portfolio besar, beliau perlu fokus terhadap tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan dan tidak boleh terlalu memikirkan isu yang tidak berkaitan dengan rakyat.
"Saya tak mahu ambil pusing, fokus saya meneruskan kerja-kerja saya dalam negeri Melaka," katanya lagi.