PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tiga puluh rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan dari Khartoum, ibu negara Sudan, negara yang dilanda konflik, dijangka tiba di tanah air esok, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Mereka terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar, kata beliau pada sidang media Ops Sudan di sini hari ini.
Beliau berkata, mereka adalah antara 194 rakyat pelbagai negara yang selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal pada kira-kira 1.54 pagi waktu Malaysia hari ini, dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi HMS Abha setelah menempuh perjalanan kira-kira sembilan jam dari Pelabuhan Sudan.
Zambry berkata, kesemua rakyat Malaysia itu akan menaiki penerbangan Saudi Arabian Airlines SV834 dari Jeddah dan dijadualkan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.55 petang esok.
"Bersama-sama dengan rakyat Malaysia dalam kapal itu (HMS Abha) adalah 22 rakyat negara lain yang kita bantu untuk bawa keluar iaitu 14 warga Singapura, enam warga Kemboja dan dua warga Amerika Syarikat,” katanya.
Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera ekoran konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus pada 15 April lepas.
Dilaporkan terdapat 32 rakyat Malaysia berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza dan pada 21 April lepas, dua rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.
Dua rakyat Malaysia itu merupakan individu yang berkhidmat dengan Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan (UNMIS) di Abyei dan proses evakuasi mereka akan dilakukan oleh pihak PBB.
Pada 25 April lepas, dilaporkan 30 rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum, selamat tiba di Pelabuhan Sudan pada 2.07 petang Isnin waktu Sudan (8.07 malam waktu Malaysia) setelah melalui perjalanan 30 jam menempuh jarak 1,233 kilometer.
Zambry merakamkan penghargaan kerajaan Malaysia terhadap kerajaan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri dan Polis Diraja Malaysia atas usaha menyediakan bantuan dari segi kemudahan logistik, penempatan dan iringan keselamatan.
Beliau turut menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Sudan serta mengikuti rapat perkembangan isu tersebut agar proses evakuasi berjalan lancar.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bersama-sama mengikuti dan berusaha menghubungi pihak-pihak tertentu di Sudan dan tempat lain dalam usaha kita menyelamatkan rakyat Malaysia yang ketika itu terperangkap dan beliau turut mengarahkan beberapa langkah yang perlu diambil,” katanya.
Ditanya mengenai status Kedutaan Malaysia di Sudan susulan pergolakan di negara itu, Zambry berkata, ia tidak ditutup sebaliknya digantung operasi buat waktu sementara.
"Sehingga keadaan di Sudan kembali pulih dan selamat, segala urusan berkaitan dengan negara berkenaan akan diselia secara pentadbiran oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah (Mesir),” katanya.
Zambry dalam sidang media itu turut mendedahkan Kompleks Petronas Sudan telah dijadikan sasaran oleh kumpulan pemberontak dan telah diambil alih secara paksa.
"Saya dimaklumkan ada pertempuran dan terdapat peluru sesat yang menembusi Kompleks Petronas. Dalam tempoh tiga jam yang diberikan (untuk misi menyelamat) bayangkan kita perlu mengeluarkan mereka dalam keadaan yang amat berbahaya dan berisiko.
"Sebab itu saya ucapkan tahniah atas kepantasan mereka bertindak, kalau tidak bayangkan apa yang akan berlaku. Staf kedutaaan ada sekali di Kompleks Petronas ketika itu,” katanya. - Bernama