Bapa sedih lihat anak tidak bernyawa

Iklan
Mayat Mohammad Arif Zakuan ditemukan dalam longkang di Taman Kerian Permai, Parit Buntar pada Rabu selepas dilaporkan hilang sejak Isnin lalu. - Foto ihsan pembaca

IPOH - Perasaan seorang bapa merasakan anak lelakinya sudah tiada sejak Isnin lalu menjadi kenyataan apabila mayat mangsa ditemukan dalam longkang berhampiran Taman Kerian Permai, Parit Buntar.

Iklan
Iklan

Mayat Mohammad Arif Zakuan Mohd Redzuan, 20, yang juga orang kurang upaya (OKU) dijumpai sekitar jam 5.45 petang pada Rabu.

Bapa mangsa, Mohd Redzuan Md Hanafiah, 41, berkata, perasaan itu terdetik apabila usaha pencarian yang dijalankan bersama ahli keluarga lain gagal menemukan mangsa.

Iklan

"Sebagai ibu bapa, saya mahu melihat anak dalam keadaan selamat tetapi semalam saya rasa tidak sedap hati dan beritahu perkara itu kepada ibu mentua.

"Tidak sangka gerak hati saya betul. Saya rasa kecewa bila tengok keadaannya. Isteri paling sedih kerana dia turut sama-sama mencari anak kami," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun pada Khamis.

Iklan

Menurut Mohd Redzuan, kali terakhir dia melihat anak sulungnya ketika keluar dari rumah mereka di Kampung Telok, Nibong Tebal, Pulau Pinang sekitar jam 6 petang dengan menaiki motosikal.

"Dia keluar beraya dengan sepupunya ke rumah rakan mereka. Saya tidak tahu apa yang terjadi tetapi menurut anak saudara, anak saya tiba-tiba lari meninggalkan motosikalnya ketika dalam perjalanan balik ke rumah.

"Kami bagaimanapun reda dengan kejadian ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan sekiranya terdapat unsur jenayah," katanya.

Jenazah Mohammad Arif Zakuan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Pasir, Bandar Baharu, Kedah.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan lanjut yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian mendapati tiada unsur perlakuan jenayah di tempat kejadian.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati kematian mangsa tidak dapat dikenal pasti (pereputan mayat).

"Beberapa spesimen diterima dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi membantu siasatan. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh disalurkan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 05-7212222.